Hospital Indonesia di Gaza terpaksa henti rawat pesakit, tiada sumber api dan ubat
Agensi
November 17, 2023 23:13 MYT
November 17, 2023 23:13 MYT
SEMENANJUNG GAZA: Sebuah hospital di Semenanjung Gaza yang dibina dengan dana Indonesia kini ditutup kerana kekurangan bekalan, selepas beberapa hari cuba menyelamatkan operasi dengan bergantung pada panel solar, minyak masak dan bantuan sukarelawan, yang kini tidak dapat dihubungi.
Pengarah Hospital Indonesia, Atef al-Kahlout pada Khamis memberitahu Al Jazeera bahawa mereka sudah tidak boleh memberikan perkhidmatan lagi, malah sudah tidak mempunyai katil untuk menempatkan pesakit.
Masih terdapat 45 pesakit lagi yang memerlukan pembedahan segera, tetapi dia terpaksa meminta ambulans untuk berhenti menghantar mereka yang cedera lagi. Kira-kira 500 pesakit sedang menunggu rawatan, kata al-Kahlout, melebihi kapasiti maksimum iaitu 140 pesakit.
"Semua hospital di Bandar Gaza dan utara telah berhenti beroperasi," katanya.
Sarbini Murad, ketua kumpulan kemanusiaan Mer-C yang membina hospital itu pada 2011 dengan sumbangan AS$8 juta oleh Indonesia, memberitahu This Week in Asia pada Jumaat bahawa dia hanya mengetahui situasi hospital itu menerusi berita.
Sejak perang meletus pada 7 Oktober, pekerja dan sukarelawan di Hospital Indonesia di utara Gaza telah merawat ribuan rakyat Palestin dalam keadaan yang berisiko.
Seorang kakitangan terbunuh pada hari pertama serangan Israel ke atas Gaza, manakala serbuan Israel pada 26 Oktober turut membunuh keluarga dua orang doktor.
Dianggarkan lebih 1,700 orang meninggal dunia di Hospital Indonesia, dengan 600 adalah kanak-kanak dan lebih 300 adalah wanita.
Menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 14 November, hampir dua pertiga daripada 36 hospital Gaza tidak lagi beroperasi. Israel telah memutuskan akses kepada diesel, sekali gus menyukarkan pekerja kesihatan untuk memindahkan pesakit yang cedera parah ke Mesir.
Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin berkata, sebuah trak yang membawa lebih 23,000 liter diesel tiba di Gaza pada Rabu lalu, tetapi Israel melarang penggunaannya untuk pam air atau hospital di Gaza, sebaliknya hanya membenarkan penggunaan untuk menyampaikan bantuan.