Hospital Indonesia di Gaza bakal jadi pusat pengumpulan mayat terbesar

Agensi
November 2, 2023 17:20 MYT
Jumlah penduduk Gaza yang cedera akibat dua serangan besar-besaran rejim zionis Israel di kem pelarian Jabalia melebihi 50 kali kapasiti hospital tersebut, dan diburukkan lagi dengan keputusan bekalan ubatan dan minyak. -FB Discover ASEAN
GAZA: Hospital Indonesia, satu-satunya hospital yang masih beroperasi di utara Gaza, berkemungkinan akan menjadi pusat pengumpulan mayat yang terbesar, lapor agensi berita Al-Jazeera.
Laporan itu menyebut, jumlah penduduk Gaza yang tercedera akibat dua serangan besar-besaran rejim Zionis Israel di Kem Pelarian Jabalia dalam tempoh 24 jam, melebihi 50 kali kapasiti hospital tersebut, dan diburukkan lagi dengan keputusan bekalan ubatan dan minyak.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin, pihak pengurusan hospital tersebut terpaksa mengambil keputusan yang sukar iaitu menutup generator utama susulan kekurangan bahan api yang kritikal, dan terpaksa bergantung kepada generator berkuasa kecil untuk memastikan Unit Rawatan Rapi (ICU) terus beroperasi.
Pemerhatian wartawan Al-Jazeera mendapati bila-bila masa sahaja pengurusan hospital itu terpaksa mengumumkan pemberhentian operasi, yang dijangka akan menjadi satu bencana, dan menjadikan kawasan hospital tersebut sebagai pusat pengumpulan mayat terbesar.
Pada Rabu, rejim zionis Israel telah membedil kem pelarian di Jabalia, atas alasan menyasarkan serangan ke atas kumpulan pejuang Hamas yang mereka dakwa sedang bersembunyi di kem tersebut.
Akibat serangan itu, Kementerian Kesihatan melaporkan lebih 50 nyawa terkorban, dengan sejumlah besar melibatkan wanita dan kanak-kanak.
Berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kawasan kem tersebut hanya berkeluasan 0.5 batu persegi, dan menempatkan sekitar 116,000 pelarian berdaftar.
Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffith mengecam serangan ke atas hospital tersebut selepas mengadakan lawatan dua hari ke Israel dan kawasan Palestin yang dijajah.
“Serangan ini merupakan malapetaka terbaharu untuk menghapuskan penduduk Gaza, di mana konflik tersebut telah memasuki fasa yang lebih menakutkan, dan akan mewujudkan lebih banyak akibat yang teruk untuk kemanusiaan,” katanya lagi.
Griffiths berkata, dunia seolah-olah tidak boleh atau sengaja tidak mahu bertindak, dan serangan ini mesti dihentikan serta-merta.
#Hospital Indonesia #Palestin #rejim Zionis #pusat pengumpulan mayat terbesar #kem pelarian Jabalia
;