Hospital diserang tentera AS, Obama mohon maaf atas kesilapan
APTN
Oktober 8, 2015 11:30 MYT
Oktober 8, 2015 11:30 MYT
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada Rabu meminta maaf berhubung insiden serangan udara tentera AS ke atas sebuah hospital kendalian MSF di Bandar Kunduz, Afghanistan.
Jurucakap Rumah Putih, Josh Earnest memberitahu media, Obama menghubungi Ketua Doktor Amal Perubatan Tanpa Sempadan (MSF) Joanne Liu untuk memohon maaf dan mengucapkan takziah.
Menurut Earnest, dalam perbualan itu, Obama memberi jaminan akan menjalankan siasatan rapi berhubung kejadian serangan berkenaan.
Pada masa sama, Obama menjelaskan kepada MSF, jika perlu, AS akan membuat perubahan dalam pendekatan perangnya bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Katanya, Obama turut menghubungi Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani dan berjanji untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan negara itu.
MSF sebelum ini menuntut siasatan antarabangsa ke atas serangan Sabtu lalu yang meragut 22 nyawa.
Tentera AS, sebelum ini, menyifatkan serangan itu sebagai satu kesilapan.