Hospital COVID-19 terbakar di Iraq, angka korban meningkat 64 orang
Bernama
Julai 13, 2021 00:06 MYT
Julai 13, 2021 00:06 MYT
BAGHDAD: Angka korban akibat kebakaran sebuah hospital merawat pesakit COVID-19 di wilayah selatan Dhi Qar Iraq meningkat kepada 64 orang pada Selasa, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Iraq (INA).
"Jumlah korban akibat kebakaran di pusat kuarantin Hospital al-Hussein di ibu kota wilayah al-Nasiriyah meningkat kepada 64 orang dan mencederakan 50 yang lain," kata Jurucakap Jabatan Kesihatan Dhi Qar Ammar al-Zamily.
Kebakaran berlaku lewat petang Isnin dan merebak hingga ke 20 karavan yang dijadikan pusat kuarantin sementara hospital berkenaan.
Anggota bomba dan pertahanan awam bergegas ke tempat kejadian bagi memindahkan pesakit serta petugas kesihatan dan berusaha memadam kebakaran, kata al-Zamily.
Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhimi mengadakan mesyuarat tergempar dengan beberapa menteri Kabinet dan ketua keselamatan bagi membincangkan situasi terkini, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan.
Al-Kadhimi kemudian bertindak menggantung perkhidmatan dan menahan ketua pengarah jabatan kesihatan wilayah, pengarah hospital, dan pengarah pertahanan awam wilayah, serta mengarahkan siasatan dilakukan berhubung kejadian itu.
Beliau turut mengisytiharkan negara berkabung sebagai menghormati mereka yang terkorban, tambahnya.
Speaker Parlimen Mohammed al-Halbousi menulis di akaun Twitternya kejadian itu akan dibincangkan pada sesi parlimen, Selasa.