Hospital buka 'wad baharu' di tempat letak kereta susulan lonjakan jumlah pesakit COVID-19

Agensi
Ogos 14, 2021 12:26 MYT
Pusat Perubatan Universiti Mississippi (UMMC) membuka sebuah hospital dengan 20 katil di kawasan tempat letak keretanya awal pagi Jumaat. -Mississippi Free Press
JACKSON: Lonjakan kes baharu COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) mendorong sebuah hospital di Mississippi membuka 'wad' baharu bagi merawat jumlah pesakit yang kian bertambah.
Dengan lambakan pesakit Koronavirus dan kekurangan pekerja kesihatan di negeri itu, Pusat Perubatan Universiti Mississippi (UMMC) meletakkan 20 katil di kawasan tempat letak keretanya awal pagi Jumaat.
UMMC juga merancang membuka khemah hospital bergerak awal minggu depan yang dikendalikan pasukan perubatan yang dihantar Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia.
Kadar vaksinasi yang rendah disertai varian Delta yang mudah menular mendorong lonjakan kes COVID-19 di seluruh AS.
Arkansas, Florida, Louisiana, Mississippi, dan Oregon telah melaporkan jumlah tinggi kemasukan ke hospital COVID-19 bulan ini.
Ini memaksa negeri-negeri tersebut untuk mendapatkan bantuan perubatan dari Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, gabenor Republikan di negeri selatan seperti Florida dan Texas telah melarang mandat pemakaian pelitup muka.
Jumlah kes harian di seluruh AS meningkat dua kali ganda dalam dua minggu terakhir, mencapai puncak untuk tempoh enam bulan.
Sementara rata-rata jumlah kes kematian harian meningkat 85 peratus dalam 14 hari terakhir.
#Amerika Syarikat #COVID-19 #jangkitan #koronavirus #New York #pelitup muka #virus #Mississippi #wad baharu
;