'Hore bapakku pulang', entri terakhir Bani Seventeen undang sebak
Madiha Abdullah
Disember 23, 2018 13:56 MYT
Disember 23, 2018 13:56 MYT
PEMINAT band popular Indonesia, Seventeen, hari ini berduka cita apabila salah seorang anggota band itu dilaporkan terkorban dalam tragedi tsunami Anyer.
M Awal Purbani atau Bani, pemain bass, sedang membuat persembahan bersama anggota Seventeen yang lain ketika ombak besar membadai pentas yang didirikan membelakangi pantai di Tanjung Lesung Beach Resort, Pandeglang, Banten.
Saat persembahan baru memasuki lagu kedua, ombak yang besar dan deras menerjah kawasan itu, sekali gus merobohkan pentas.
Dua entri terakhir Bani di akaun Instagramnya, @baniseventeen, mengundang sebak peminat.
Dalam entri pada 8 Disember lalu, Bani memuat naik sekeping gambar dengan kapsyen "Qanaah (rasa cukup, berpada-pada) itu lebih baik, kerana kita di dunia ini cuma sementara".
Entri terakhir pula memperlihatkan rakaman kenangan Bani dan anak perempuannya, Inara.
"Hore bapakku pulang," itu kapsyen yang ditulis Bani dalam entri bertarikh 11 Disember itu.
Rakan artis, Pasha Ungu, turut meninggalkan komen menyentuh hati pada status itu.
"Selamat jalan saudaraku Bani, selesai sudah tugas mulia di bumi Allah. Semoga engkau mendapat ketenangan.
"Selamat beristirehat saudara," tulis Pasha.
Peminat turut membanjiri akaun Instagram isteri Bani, Cindri Wahyuni, yang dikhabarkan sedang hamil anak kedua, untuk memberi ucapan takziah.
Ketika berita ini ditulis, hanya vokalis band itu, Iffan, yang disahkan selamat.
Band itu turut kehilangan pengurus mereka, Oki Wijaya.