Hong Kong umum rombakan Kabinet, usaha pemulihan ekonomi
Agensi
April 22, 2020 19:38 MYT
April 22, 2020 19:38 MYT
KERAJAAN Hong Kong melantik lima pemimpin baharu dalam rombakan Kabinet yang dilakukan pada Rabu.
Pelantikan baharu itu adalah bagi jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Perkhidmatan Awam, Kewangan dan Inovasi dan Teknologi.
Rombakan itu dipersetujui oleh pemerintah pusat China di Beijing dan pengumuman yang dilakukan oleh Dewan Negara China adalah berdasarkan cadangan daripada Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam.
Menurut Lam, lantikan tersebut adalah sebahagian daripada usaha pemulihan ekonomi negara itu susulan penularan COVID-19 dan tiada kaitan dengan kenyataan kerajaan China baru-baru ini mengenai pengendalian pentadbiran Beijing terhadap Hong Kong.
“Ketika ini negara berhadapan dengan krisis serius termasuk dari segi politik, ekonomi, kehidupan harian dan kami hanya mempunyai dua penggal lagi bagi menyelesaikan masalah ini.
“Dengan ini, pelantikan dalam kalangan pemimpin yang komited dan berpengalaman luas mampu membantu rakyat negara ini,” jelasnya.
Hong Kong yang merupakan wilayah separa autonomi China, merekodkan 1,030 kes positif COVID-19 dengan empat kematian.
Pada Selasa, negara itu mengumumkan lanjutan dua minggu langkah penjarakan sosial termasuk menghalang perhimpunan awam dan menutup semua pusat hiburan.