Hong Kong rai ulang tahun ke-23 penyerahan kepada China
Agensi
Julai 1, 2020 06:13 MYT
Julai 1, 2020 06:13 MYT
HONG Kong meraikan ulang tahun ke-23 penyerahan wilayah itu kepada China dalam keadaan diselubungi kerisauan mengenai undang-undang keselamatan baharu yang diluluskan pada Selasa.
Upacara diraikan dengan lintasan helikopter di ruang udara sambil mengibarkan bendera China.
Ulang tahun penyerahan Hong Kong pada tarikh 1 Julai itu sekian lama dianggap sebagai hari perpecahan dan perbezaan pendapat di wilayah separa autonomi itu.
Buat pertama kalinya sejak acara itu disambut 17 tahun lalu, pihak berkuasa melarang perarakan demokrasi 1 Julai.
Undang-undang baharu itu dikhuatiri menyekat kebebasan dan menggugat autonomi hab kewangan itu, yang antara lain melarang empat jenis jenayah iaitu kegiatan subversif atau pemberontakan, pemisahan, keganasan dan campur tangan asing.
Bagaimanapun, pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, memuji undang-undang itu sebagai pembangunan paling penting sejak wilayah itu dikembalikan kepada China pada 1997.
Namun, tindakan itu dikecam hebat kepimpinan Barat diketuai Washington susulan kebimbangan mereka kemungkinan undang-undang itu akan membawa era baharu penindasan politik mengikut gaya China.
#Carrie Lam
#China
#hab kewangan
#Hong Kong
#jenayah
#penyerahan wilayah
#perarakan
#ulang tahun
#wilayah separa autonomi