Hong Kong permudah kemasukan pelawat ASEAN

Bernama
Mac 19, 2025 23:15 MYT
Jabatan Imigresen Hong Kong akan memproses permohonan mereka melalui platform elektronik dengan syarat yang lebih longgar. - Foto hiasan/BERNAMA
HONG KONG: Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee pada Selasa mengumumkan pelaksanaan rasmi program yang memudahkan kemasukan pelawat khas dari 10 negara anggota ASEAN, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Langkah itu bertujuan mempermudah prosedur imigresen bagi pelawat ASEAN yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi Hong Kong atau dijemput menghadiri acara utama di wilayah pentadbiran khas China itu.
Sehubungan itu, Jabatan Imigresen Hong Kong akan memproses permohonan mereka melalui platform elektronik dengan syarat yang lebih longgar.
Keperluan biasa untuk menyemak lawatan terdahulu ke Hong Kong akan diketepikan dan prosedur akan dipermudahkan. Pemohon yang diluluskan akan diberikan tempoh sah selama tiga tahun, dengan setiap lawatan membolehkan mereka tinggal sekurang-kurangnya dua bulan.
Selain itu, mereka juga layak menggunakan perkhidmatan pelepasan automatik di bandar berkenaan.
Seorang jurucakap kerajaan Hong Kong menekankan hubungan wilayah itu yang telah lama terjalin dengan ASEAN, sambil menyatakan bahawa ASEAN merupakan rakan dagang kedua terbesar Hong Kong.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Hong Kong telah memperkenalkan pelbagai langkah memudahkan proses permohonan visa untuk negara-negara ASEAN.
-- BERNAMA
#Hong Kong #kemasukan pelawat ASEAN #john lee #pelancong
;