Hong Kong lonjak tangga kelima ranking daya saing dunia

Bernama
Jun 26, 2024 16:37 MYT
Ranking itu turut menyaksikan Hong Kong menduduki tempat teratas bagi kategori 'dagangan antarabangsa' dan 'peraturan perniagaan'. - Gambar hiasan/Unsplash
HONG KONG: Hong Kong naik dua anak tangga kepada kedudukan ke-5 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2024.
Ranking itu turut menyaksikan Hong Kong menduduki tempat teratas bagi kategori 'dagangan antarabangsa' dan 'peraturan perniagaan'.
Setiausaha Kewangan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) Paul Chan Mo-po berkata ekonomi Hong Kong kekal stabil dan bertambah baik biarpun berdepan cabaran luaran.
Bagi suku pertama tahun ini, ekonomi Hong Kong mencatat pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus dengan sektor eksport menunjukkan prestasi cemerlang.
Untuk rekod, eksport barangan wilayah itu terus pulih pada suku pertama dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 6.8 peratus.
Sektor perbelanjaan pula meningkat secara sederhana, didorong oleh pertambahan berterusan bilangan pengunjung.
Paul Chan menjelaskan bahawa selaku 'penghubung' antara Tanah Besar dan dunia, Hong Kong memiliki kelebihan unik dalam usaha memperkasa dagangan dan pelaburan antarabangsa serta memacu kemampanan rantaian bekalan global.
--BERNAMA-CMG
#Hong Kong #ranking #daya saing #pertumbuhan #perdagangan
;