ISTANBUL: Hong Kong mengeluarkan waran tangkap pada Isnin ke atas lapan aktivis yang tinggal dalam buangan kerana "terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara" di luar negara, menurut polis.

Jabatan keselamatan wilayah itu turut mengumumkan ganjaran lebih HK$1 juta (US$127,600) ke atas setiap orang yang dikehendaki itu, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan polis polis Hong Kong.

Polis berkata mereka disyaki "melaksanakan jenayah di bawah Undang-undang Keselamatan Negara Hong Kong selepas melarikan diri, termasuk jenayah menghasut pemisahan, subversi kuasa negara, menghasut subversi kuasa negara, dan bersekongkol dengan negara asing atau kuasa asing yang membahayakan keselamatan negara".

Menurut polis Hong Kong individu terbabit ialah bekas Ahli Parlimen - Ted Hui dan Dennis Kwok, aktivis Nathan Law, Anna Kwok, Elmer Yuen, Mung Siu-tat dan Finn Law, bersama peguam Kevin Yam.

-- BERNAMA