Ho Chi Minh ambil langkah jadi hab pelancongan perubatan serantau ASEAN

Bernama
Oktober 6, 2024 07:30 MYT
Ho Chi Minh berhasrat menjadi hab penjagaan kesihatan serantau bagi mengurangkan bilangan rakyat yang pergi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan dan meningkatkan pelancongan perubatan. - Gambar fail/BERNAMA
PHNOM PENH: Vietnam sedang mempelawa pelabur untuk membiayai projek penjagaan kesihatan bernilai berbilion dolar di Ho Chi Minh yang dijangka mengubah bandar selatan itu menjadi hab perubatan utama di ASEAN.
Dengan memanfaatkan populasi kelas pertengahan yang semakin meningkat di Asia Tenggara, perubahan demografi dan kesalinghubungan udara serantau yang lebih baik, pihak berkuasa sedang berusaha untuk meletakkan bandar itu sebagai pemain serantau dengan infrastruktur perubatan moden.
Menurut Vietnam News, Pusat Promosi Pelaburan dan Perdagangan bandar itu berkata antara 2026-2030, bandar raya itu dijangka mempunyai 150 projek perubatan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM8.7 bilion (US$2.1 bilion).
"Bandar ini berhasrat untuk menjadi hab penjagaan kesihatan serantau bagi mengurangkan bilangan rakyat yang pergi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan dan meningkatkan pelancongan perubatan," kata wakil Jabatan Kesihatan Ho Chi Minh, Vo Hoang Nhan semasa sesi dialog dengan pemain industri penjagaan kesihatan di Ho Chi Minh, seperti dilaporkan oleh Vietnam News.
Kira-kira 40,000 pesakit Vietnam pergi ke luar negara setiap tahun untuk mendapatkan rawatan.
Sebaliknya, kira-kira 300,000 pelancong asing datang ke Vietnam untuk rawatan perubatan, kebanyakannya tertumpu dalam pembedahan mata, pergigian dan rawatan kosmetik. Ho Chi Minh menarik kira-kira 40 peratus daripada pelancong perubatan pada masa ini, menurut Vietnam Briefing, sebuah penerbitan berita bulanan.
Vietnam sedang berusaha ke arah visi pemodenan nasionalnya untuk mengubah Ho Chi Minh dengan kira-kira 10 juta penduduk, menjadi sebuah bandar perindustrian pintar utama menjelang 2045 untuk bersaing dengan negara jirannya.
Pada masa yang sama, menjadikan Ho Chi Minh sebagai hab pelancongan perubatan utama di Asia Tenggara untuk bersaing dengan perintis serantau lain seperti Malaysia, Singapura dan Thailand yang mempunyai kemudahan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi untuk menarik pesakit asing.
RHB dalam laporan penyelidikannya pada Ogos mendedahkan bahawa pasaran pelancongan perubatan global dianggarkan bernilai RM55 bilion (US$13.1 bilion) tahun lepas.
Pelancong perubatan yang melawat negara ASEAN menyumbang satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pelancong perubatan global.
"ASEAN kini menjadi destinasi bagi profesional penjagaan kesihatan terkenal dengan kepakaran perubatan yang luas dan berkemahiran tinggi dalam bidang masing-masing. Kemudahan perubatan canggih juga memainkan peranan dalam menarik pesakit asing," menurut laporan itu.
-- BERNAMA
#Ho Chi Minh #hab pelancongan perubatan #Vietnam #perubatan moden
;