HKSAR gesa AS berhenti gunakan platform WTO untuk burukkan Hong Kong
Bernama
April 30, 2023 11:51 MYT
April 30, 2023 11:51 MYT
HONG KONG: Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) membantah sekeras-kerasnya kenyataan Amerika Syarikat yang memutarbelitkan fakta mengenai situasi di Hong Kong.
HKSAR juga menggesa AS berhenti menyalahgunakan forum Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk menyerang Hong Kong.
AS dikatakan mengeluarkan kenyataan itu di mesyuarat Badan Penyelesaian Pertikaian (DSB) WTO pada 28 April (Jumaat).
Jurucakap kerajaan HKSAR berkata panel WTO yang ditubuhkan di bawah DSB telah memutuskan dengan jelas pada 21 Dis 2022 bahawa keperluan penandaan asal yang dikenakan oleh AS ke atas produk dari Hong Kong adalah diskriminasi dan tidak konsisten dengan peraturan WTO.
Tindakan negara itu berulang kali membuat dakwaan politik yang menyimpang dan mementingkan diri sendiri pada mesyuarat DSB berkaitan dengan keputusan panel dilihat menjejaskan integriti sistem perdagangan WTO, lapor Xinhua.
Jurucakap itu meminta AS untuk menghormati keputusan itu dan menarik balik serta-merta keperluan penandaan asalnya yang salah.
Kerajaan HKSAR turut menafikan kenyataan tidak berasas yang dilemparkan terhadap undang-undang keselamatan negara di Hong Kong.
Hong Kong adalah sebuah masyarakat yang ditunjangi oleh kedaulatan undang-undang dan sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang mesti dipatuhi serta mereka yang tidak mematuhinya perlu bertanggungjawab dan ini diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa, kata jurucakap itu.
-- BERNAMA