Hizbullah tidak akan 'berdiam diri' selepas pemimpin Hamas dibunuh Israel

Agensi
Januari 3, 2024 06:45 MYT
Sayyed Hassan Nasrallah menyalahkan Israel atas serangan itu dan mengucapkan takziah kepada Hamas atas apa yang disebutnya sebagai "pencerobohan Israel yang terang-terangan" yang membunuh Saleh al-Arouri. - Gambar fail REUTERS
KETUA kumpulan pasukan pejuang Lubnan, Hizbullah berkata, pembunuhan Timbalan Ketua Hamas di Beirut merupakan "jenayah besar dan berbahaya dan Hizbullah tidak boleh berdiam diri."
Dalam ucapan yang disiarkan pada hari Rabu, Sayyed Hassan Nasrallah menyalahkan Israel atas serangan itu dan mengucapkan takziah kepada Hamas atas apa yang disebutnya sebagai "pencerobohan Israel yang terang-terangan" yang membunuh Saleh al-Arouri.
Serangan pada hari Selasa itu berlaku di pinggir selatan Beirut di Dahiyeh, kubu kuat Hizbullah.
Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari tidak secara langsung mengulas mengenai pembunuhan al-Arouri tetapi berkata tentera "sangat bersedia untuk sebarang senario" selepasnya.
Sehari selepas pembunuhan itu berlaku, Ketua Perkhidmatan Perisikan Mossad Israel berikrar bahawa agensi itu akan memburu setiap anggota Hamas yang terlibat dalam serangan 7 Oktober ke atas Israel, tidak kira di mana mereka berada.
Kenyataan yang dikeluarkan David Barnea disifatkan sebagai petunjuk yang jelas penglibatan Israel dalam serangan pada Selasa.
Ia merupakan serangan pertama di Beirut selepas hampir tiga bulan berlaku tembakan hampir setiap hari antara tentera Israel dan Hizbullah merentasi sempadan Israel-Lubnan.
Hizbullah melancarkan roket merentasi sempadan bermula pada 8 Oktober untuk menyokong Hamas, yang telah melakukan serangan maut ke selatan Israel pada hari sebelumnya yang dibalas oleh Israel dengan kempen pengeboman yang dahsyat di Semenanjung Gaza.
Hizbullah merupakan sebahagian daripada "paksi penentangan", sebuah pakatan longgar kumpulan bersenjata yang mempunyai hubungan dengan Iran.
Pasukan pejuang lain yang turut bersama-sama dalam pakatan itu termasuk Hamas di Palestin dan pemberontak Houthi di Yaman.
Sayyed Hassan menegaskan, tindakan "pantas" Hizbullah pada 8 Oktober dan serangan merentasi sempadan sejak itu telah menghalang kempen pengeboman yang lebih meluas oleh Israel di Lubnan.
Beliau berkata, "tiada sempadan" dan "tiada peraturan" untuk memerangi Hizbullah jika Israel melancarkan perang ke atas Lubnan.
Bercakap kepada Al Jazeera, penolong profesor hubungan antarabangsa di American University of Rome, Andrea Dessi berpendapat, sepertinya tidak akan ada "peningkatan langsung (serangan) dalam beberapa hari mendatang".
"Bagaimanapun, ancaman itu ada," kata Dessi kepada Al Jazeera.
Namun begitu, reaksi yang ditunjukkan pemimpin tertinggi Hizbullah perlu hadir pada waktu yang tepat iaitu ketika "kredibiliti Hizbullah dan Sayyed Hassan di kemuncak" memandangkan dalam ucapan sebelum ini, beliau menyatakan bahawa sebarang pembunuhan seperti itu akan disambut dengan tindak balas.
Hizbullah, bagaimanapun, "tidak mahu memikul tanggungjawab memulakan perang besar," tambahnya.
Melaporkan dari Beirut, Zeina Khodr dari Al Jazeera berkata, bayangan yang diberikan Sayyed Hassan merupakan "tindakan keseimbangan yang halus".
“Beliau bercakap tentang barisan hadapan di selatan Lubnan, di mana Hizbullah terlibat dalam konflik intensiti rendah dengan tentera Israel di sepanjang sempadan. Beliau berkata bahawa (pergaduhan) akan diteruskan.
“Sayyed Hassan juga berkata jika Israel memutuskan untuk melancarkan serangan besar-besaran, maka Hizbullah akan melawan dengan keupayaan penuh ketenteraannya.”
“Tetapi Sayyed Hassan juga bercakap mengenai pertimbangan strategik nasional yang perlu diambil kira oleh setiap kumpulan penentangan dalam ‘paksi penentangan’ di seluruh rantau ini. Dan di Lubnan, Sayyed Hassan tahu bahawa Israel boleh memusnahkan negara ini,” katanya.
“Dalam banyak cara, tangannya diikat. Tetapi pada masa yang sama, dia mengulangi bahawa Hizbullah tidak takut perang.”
Sayyed Hassan dijangka menyampaikan satu lagi ucapan di televisyen pada hari Jumaat.
Hamas berkata, Saleh al-Arouri. akan dikebumikan pada hari Khamis di kem pelarian Palestin Shatila di Beirut. - Al Jazeera
#Perang Palestin-Israel #pemimpin kanan Hamas dibunuh #Saleh Al-Arouri #Hizbullah
;