Hiroshima jadi tuan rumah Sidang Kemuncak G-7

Bernama
Mei 31, 2023 20:53 MYT
Jepun telah menjadi tuan rumah enam Sidang Kemuncak G-7 setakat ini -- masing-masing pada 1979, 1986, dan 1993 di ibu kota Tokyo, Kyushu-Okinawa pada 2000, di Hokkaido 2008 dan di Mie pada 2016.- - Gambar fail/Bernama
HIROSHIMA (Jepun): Hiroshima, satu daripada dua bandar Jepun yang pernah dibom dengan bom nuklear semasa Perang Dunia II, yang kini menjadi lokasi keamanan dunia dan ekonomi Jepun, akan menjadi tuan rumah mesyuarat G-7 tahun ini.
Selepas tujuh tahun, Jepun kembali menganjurkan Sidang Kemuncak G-7, lapor Agensi Anadolu.
Kali terakhir sidang kemuncak itu diadakan ketika dihoskan oleh Perdana Menteri Shinzo Abe yang meninggal dunia tahun lepas akibat ditembak semasa berkempen di Ise-Shima.
Jepun telah menjadi tuan rumah enam Sidang Kemuncak G-7 setakat ini -- masing-masing pada 1979, 1986, dan 1993 di ibu kota Tokyo, Kyushu-Okinawa pada 2000, di Hokkaido 2008 dan di Mie pada 2016.
Kali ini, Perdana Menteri Fumio Kishida akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara anggota G-7 yang akan diadakan bermula 19 hingga 21 Mei.
Hiroshima yang merupakan kampung halaman keluarga Kishida dipilih kerana Kishida mahu menyampaikan mesej keamanan kepada dunia selain mengetengahkan visi dunia tanpa kuasa nuklear di bandar itu, tempat bom atom digugurkan dan membunuh berpuluh-puluh ribu orang pada tahun 1945.
Bandar itu, lokasi terletaknya Muzium Memorial Keamanan Hiroshima, diisytiharkan sebagai Bandar Keamanan oleh parlimen Jepun pada tahun 1949.
Hiroshima yang terkenal di seluruh dunia sebagai bandar keamanan turut menjadi destinasi pelancongan dengan keindahan kawasan pergunungan, sungai dan laut.
Dua lokasi menarik di Hiroshima telah disenarai sebagai Warisan Dunia UNESCO -- Kubah Bom Atom dan Kuil Itsukushima.
-- BERNAMA
#hiroshima #Unesco #Destinasi pelancongan #kuasa muklear
;