'Hina' penjual air teh, pendakwah Indonesia Gus Miftah umum letak jawatan
Intan Shanim Sulaiman
Disember 6, 2024 18:02 MYT
Disember 6, 2024 18:02 MYT
KUALA LUMPUR: Pendakwah Indonesia, Miftah Maulana Habiburrahman mengumumkan peletakan jawatan daripada Jabatan Utusan Khusus Presiden Bidang Kerukunan Beragama dan Pembinaan Sarana Keagamaan, selepas tular ‘menghina’ seorang penjual air teh di majlis dakwahnya beberapa hari lalu.
Menurut portal CNN Indonesia, beliau yang lebih dikenali sebagai Gus Miftah bagaimanapun menyangkal dakwaan mengundur diri disebabkan insiden tersebut, sebaliknya menegaskan berbuat demikian kerana 'menghormati semua masyarakat'.
“Hari ini, dengan kerendahan hati dan ketulusan... dan dengan penuh kesadaran (kesedaran), saya ingin sampaikan sebuah keputusan yang saya renungkan dengan sangat mendalam.
"Saya memutuskan untuk mengundurkan diri dari tugas saya sebagai Utusan Khusus Presiden Bidang Kerukunan Beragama dan Pembinaan Sarana Keagamaan," ujar Gus Miftah dalam sidang media di Jogjakarta pada Jumaat.
Beliau turut berkata, keputusan yang dibuat bukanlah kerana tekanan yang diterima daripada orang ramai tetapi kerana rasa cinta, hormat dan tanggungjawab beliau kepada Presiden Indonesia, Probowo Subianto.
Dalam sidang media berkenaan, Gus Miftah turut mengumumkan akan bertemu Prabowo secara peribadi untuk memaklumkan pengundurannya.
"Insya-Allah minggu depan saya akan menghadap Presiden," ujar Gus Miftah.
Terdahulu, Gus Miftah mendapat kritikan hebat daripada netizen Indonesia dan Probowo selepas ‘menghina’ penjual air teh, Pak Sunhaji menggunakan perkataan kesat - ’goblok' - di sebuah majlis dakwah di Magelang, Jawa.
Insiden itu turut menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengkritik tindakan itu yang dianggap angkuh dan sombong.
Sehubungan itu, netizan dari Malaysia yang turut tidak berpuas hati, meninggalkan komen-komen berbaur kritikan di Instagram peribadi Gus Miftah.