Hina monarki Thailand, bekas penjawat awam dipenjara 43 tahun 6 bulan

Agensi
Januari 19, 2021 17:18 MYT
Tertuduh hanya dikenali sebagai Achan (kanan), dijatuhi hukuman penjara 43 tahun 6 bulan kerana menghina monarki beraja Thailand. - AP
BANGKOK: Mahkamah Jenayah Bangkok Thailand menjatuhkan hukuman penjara 43 tahun 6 bulan ke atas seorang bekas penjawat awam kerana menghina atau memfitnah pemerintahan beraja atau monarki Thailand.
Hakim membuat keputusan itu selepas tertuduh berkenaan didapati bersalah atas kesemua 29 pertuduhan melanggar undang-undang lese majeste negara itu.
Tertuduh didakwa memuat naik klip audio di laman Facebook dan YouTube dengan komen yang dianggap kritikal terhadap monarki.
Hukuman itu mendapat kecaman dan kritikan umum berikutan protes terhadap sistem monarki yang masih lagi berjalan.
Undang-undang lese majeste Thailand Artikel 112 memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan.
Undang-undang itu mencetuskan kontroversi kerana didakwa menjatuhkan hukuman berat ke atas perkara-perkara kecil seperti tindakan menyatakan tanda 'suka' di laman Facebook.
Sepanjang 15 tahun lalu, kumpulan protes mendakwa undang-undang berkenaan didakwa sering digunakan sebagai senjata politik dan peribadi.
Tindakan lebih tegas dengan penguatkuasaan undang-undang lese mejeste itu giat dilakukan sejak November lalu susulan penahanan 50 individu yang melakukan kesalahan menghina monarki beraja Thailand.
Selepas Raja Maha Vajiralongkorn mengambil alih monarki pada 2016 susulan kematian ayahandanya, baginda menyatakan kepada kerajaan untuk tidak lagi menggunapakai undang-undang lese majeste.
Namun, susulan protes terhadap monarki yang memuncak tahun lalu, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha memberi amaran untuk menguatkuasakan semula undang-undang berkenaan.
#bekas penjawat awam #dijatuhi #Hukuman #penjara #hina #monarki #Thailand
;