Hina Bugis: Jusuf Kalla desak Tun Mahathir mohon maaf

Astro Awani
November 7, 2017 21:08 MYT
JUSUF: Mahathir harus tarik balik kenyataan. - Reuters
Wakil Presiden Indonesia Jusuf Kalla hari ini mendesak bekas perdana menteri Malaysia Mahathir Mohamad memohon maaf atas kata-kata penghinaan terhadap suku Bugis seperti yang disebut dalam satu ceramah politik pada 14 Oktober lalu.
Portal berita Republika melaporkan, Jusuf terkejut apabila ceramah Mahathir diselitkan dengan kenyataan menghina yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai lanun kerana berasal dari suku Bugis.
“Pertama, sebagai orang Bugis, saya membantah (kenyataan itu). Maka, Mahathir harus minta maaf. Kerana orang Bugis itu bukan hanya ada di Sulawesi Selatan, tapi di seluruh Indonesia, bahkan di Malaysia,” kata Jusuf di Jakarta, pada Selasa.
Tambahnya, Mahathir perlu menarik balik kenyataannya yang dianggap telah melukai seluruh orang Bugis.
“Mahathir harus perbetulkan. Jangan lagi dikaitkan soal suku,” tegasnya.
Selain mencetuskan kemarahan di Indonesia, kata-kata Mahathir juga telah mendapat bantahan daripada Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PPRBMM) di Yayasan Kepemimpinan Perdana pada 18 Oktober lalu.
#bugis #ceramah #Indonesia #Jusuf Kalla #lanun #Mahathir Mohamad #Malaysia #mohon maaf #politik
;