Hillary Clinton secara rasmi diumum calon presiden Parti Demokrat

Agensi
Julai 27, 2016 12:10 MYT
Clinton (gambar) menjadi wanita pertama yang dicalon oleh sebuah parti politik utama untuk bertanding menjadi presiden dalam sejarah Amerika. - Foto AFP
Sejarah tercipta di pentas politik Amerika Syarikat apabila bekas wanita pertama, Hillary Clinton secara rasmi diumumkan sebagai calon Parti Demokrat untuk bertanding menjadi presiden negara itu.
Clinton menjadi wanita pertama yang dicalon oleh sebuah parti politik utama untuk bertanding menjadi presiden dalam sejarah Amerika.
Sama seperti sokongan yang diberi Clinton kepada Barack Obama pada 2008, kini, seteru Clinton, Bernie Sanders mengumumkan sokongannya terhadap pemilihan Clinton sebagai calon Parti Demokrat.
“Puan Pengerusi, saya mencadangkan supaya konvensyen mengenepikan prosedur biasa.
“Saya ingin mengusulkan semua undi yang telah dibuang oleh perwakilan dicerminkan dalam rekod rasmi, dan saya mengusulkan Hillary Clinton dipilih sebagai calon Parti Demokrat,” kata Sanders.
Pakar berpendapat ini memperlihatkan solidariti parti demokrat menuju ke pemilihan presiden amerika november ini, berbeza dengan senario yang dilihat di dalam parti republikan.
Clinton sebelum ini menjadikan kesaksamaan sebagai tema utama kempennya.
Beliau antara lain berikrar untuk meningkatkan gaji minimum, memotong cukai untuk golongan pertengahan serta menggalakkan keusahawanan di negara itu.
Clinton akan berdepan calon Parti Republikan, Donald Trump pada pilihan raya presiden yang akan diadakan November ini.
#Amerika Syarikat #calon presiden #Hillary Clinton #Parti Demokrat
;