Hillary Clinton lancar kempen ke White House

Agensi
April 13, 2015 00:03 MYT
Pada 2008, Hillary bertanding untuk jawatan sama, namun tewas kepada Barack Obama di peringkat pemilihan Parti Demokrat. - Gambar Fail
Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton secara rasmi melancarkan kempen ke White House, dalam usahanya menjadi presiden wanita pertama negara itu.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi yang bertiup kencang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, mengenai cubaan kedua menjadi presiden olehnya.
Kempen ke White House 2016 dilancarkan menerusi laman web Hillary.
Dalam video itu, isteri kepada bekas presiden Bill Clinton memberitahu hasratnya menjadi juara rakyat.
Pada 2008, Hillary bertanding untuk jawatan sama, namun tewas kepada Barack Obama di peringkat pemilihan Parti Demokrat.
Perjalanan seterusnya buat pasukan Hillary adalah membina sokongan akar umbi untuk peringkat pengundian awal. Kempen rapat umum pertama Hillary dijadual bermula pertengahan Mei depan.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama percaya Hillary akan menjadi seorang presiden yang cemerlang.
Katanya, Hillary merupakan calon berwibawa untuk menyainginya apabila mereka bertanding dalam pemilihan Parti Demokrat pada 2008.
Obama berkata, Hillary menjadi penyokong kuatnya pada pilihan raya umum pada tahun berkenaan. Justeru, Hillary menjadi calon utama Setiausaha Negara ketika penggal pertamanya sebagai presiden.
Obama berkata demikian semasa lawatannya ke Panama.
Penggal kedua Obama sebagai presiden akan berakhir pada Januari 2017.
#Amerika Syarikat #Barack Obama #Hillary Clinton #Parti Demokrat #White House