Hilangkah nilai kemanusiaan masyarakat dunia berhadapan krisis pelarian Syria?
Ayu Dewy Puspa
Oktober 13, 2015 10:05 MYT
Oktober 13, 2015 10:05 MYT
Konflik politik yang berlarutan di Syria memaksa ratusan ribu penduduknya keluar mencari perlindungan di negara jiran termasuk jauh ke rantau Eropah.
Jalan laut dan darat terpaksa dilalui pelarian untuk menjalani kehidupan lebih baik di destinasi impian mereka.
Pengarah Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata majoriti pelarian Syria memilih benua Eropah kerana merasakan peluang lebih baik di situ untuk memastikan kelangsungan hidup.
Zairul berkata, sepanjang tahun lalu sahaja, lebih 200,000 pelarian memasuki Eropah.
Sehingga hujung bulan lepas, dianggarkan sudah 560,000 pelarian memasuki Eropah.
Kebanjiran pelarian itu mendorong bantuan kemanusiaan dalam skala besar diberikan bagi mengelak mereka terjerumus ke kancah krisis terburuk.
"Islamic Relief Italy, setakat ini kita sudah membantu lima ribu keluarga. Makanan mereka, pakaian mereka, hygiene mereka dan sebagainya.
"Fokus kita di Milan, Rome, Bologna ini bandar-bandar besar, yang kita tahu mereka akan lalu untuk meneruskan perjalanan dan itulah yang kita akan buat. Kita juga sempat mengedarkan daging korban dari Malaysia di Itali," kata Zairul ketika temu bual di program Analisis AWANI pada Isnin.
Bermula Ogos lalu, Islamic Relief Malaysia sudah pun menghantar sukarelawan bagi membantu pelarian ke Eropah.
Islamic Relief kini berada di beberapa negara seperti Itali, Jerman dan Belgium.
Antara lain mereka memberi bantuan bukan sahaja daripada segi fizikal, kewangan serta sokongan emosi dalam menyesuaikan diri di tempat baru dengan budaya serta cara hidup berlainan.