Hilang dua tangan dibaham harimau
Ili Hadri Khalil
Februari 8, 2018 12:07 MYT
Februari 8, 2018 12:07 MYT
Seorang pekerja sarkas di Guatemala hilang kedua-dua belah tangan selepas dibaham harimau sewaktu memberi haiwan tersebut bekalan minuman harian.
Cipriano Alvarez, 55 tahun, terselamat selepas pengunjung yang berada di tempat kejadian melontar beberapa biji batu dan kayu kepada harimau yang kelaparan itu.
Alvarez kemudian dikejarkan ke Hospital Cuilapa di Santa Rosa berdekatan perkampungan El Jocotillo iaitu tempat kejadian.
Walaupun kehilangan banyak darah akibat kecedaraan, nyawa Alvarez berjaya diselamatkan selepas menjalani pembedahan kecemasan.
Alvarez baru sahaja mula melakukan pekerjaan menjaga 13 ekor harimau dua bulan lalu demi menyara hidup keluarganya.
Pihak berkuasa Guatemala sedang menyiasat sama ada pemilik harimau-harimau tersebut telah mematuhi setiap langkah keselamatan dengan betul.
Victor, anak lelaki Alvarez, memaklumkan bapanya secara kebiasaan akan menggunakan batang besi yang disediakan untuk mengalih tempat letak makanan dan minuman haiwan tersebut.
"Bapa turut diminta memberi makan 13 ekor harimau tersebut setiap dua hari dan membiarkan haiwan tersebut kelaparan pada hari ketiga," katanya.
Sementara itu, penyelaras Unit Kebajikan Haiwan Guatemala, Rony Espina dilaporkan berkata, 13 ekor harimau tersebut diletakkan dalam keadaan yang tidak sesuai dan sangkar yang disediakan terlalu kecil bagi saiz mereka.
Doktor yang merawat Alvarez pula berkata pekerja tersebut kini masih dalam rawatan rapi tetapi keadaannya dilaporkan stabil.