Hidup sepi, mati sendiri: 'Kodokushi' trend membimbangkan di Jepun

Agensi
November 30, 2017 04:08 MYT
Banyak warga emas yang tinggal sendiri di Jepun, dan akhirnya mati tanpa diketahui jiran-jiran. - Gambar hiasan
Bau busuk yang menusuk hidung mengisi ruang udara ketika petugas pembersih, Hidemitsu Ohshima, memasuki sebuah apartmen, dengan mayat seorang lelaki terbaring dan mereput sejak tiga minggu.
Lelaki berusia 50-an itu, mati sendirian di kota yang berpopulasi puluhan juta, namun tiada sesiapa yang tahu.
Keadaan kematian seperti itu menjadikannya mangsa terbaharu ‘Kodokushi’ atau bermaksud ‘mati keseorangan’ – suatu trend yang semakin membimbangkan di Jepun.
Lengkap berpakaian pelindung dan sarung tangan getah, Hidemitsu mengangkat sekeping tilam yang lencun dibasahi cecair tubuh mayat itu, lantas mendedahkan ribuan ulat dan kumbang-kumbang hitam.
“Ini serius. Anda memakai pakaian khas ini untuk melindungi diri daripada serangga yang mungkin membawa penyakit,” ujarnya yang seterusnya berdepan masalah untuk mencari waris mangsa tersebut.
Masalah Kodokushi semakin meningkat di Negara Matahari Terbit itu, dengan 27.7 peratus populasinya berusia lebih 65 tahun dan ramai orang putus asa untuk mencari pasangan ketika sampai ke pertengahan usia, lalu memilih untuk hidup bersendirian, lapor AFP.
Tiada statistik rasmi tentang kes orang yang mati tanpa diketahui selama berhari-hari atau berminggu-minggu, namun pakar menganggarkan jumlah itu mencapai 30,000 kes setahun.
Begitupun, bagi syarikat yang sering membersihkan keadaan seumpamanya, angka itu dipercayai dua atau tiga kali ganda.
Jepun era moden mengalami perubahan ketara dari aspek budaya dan ekonomi, namun sistem keselamatan sosial negara itu, sama seperti banyak negara di Asia, masih bergantung kepada keluarga untuk menjaga golongan warga emas.
“Di Jepun, institusi keluarga masih menjadi asas kukuh bagi sokongan sosial.
“Tapi sekarang ia berubah, dengan peningkatan individu membujang selain saiz keluarga yang menjadi semakin kecil,” ujar pakar isu kebajikan dari Institut Penyelidikan dan Maklumat Muzuho, Katsuhiko Fujimori.
Kadar perkahwinan juga menurun, dengan golongan lelaki memberi alasan dunia kerjaya mereka terlalu menuntut masa dan terlalu sibuk untuk memikirkan soal rumahtangga, manakala semakin ramai wanita memasuki alam pekerjaan dan tidak lagi bergantung kepada lelaki.
Atas sebab menjaga adab pula, warga emas Jepun tidak mahu membebankan jiran untuk mengharapkan bantuan dalam kes-kes kecemasan, menyebabkan kurangnya interaksi, jelas Fujimori.
“Jika institusi keluarga tidak lagi memainkan peranan, masyarakat perlu membentuk rangka kerja yang bertindak terhadap keperluan itu.
“Jika itu tidak dilakukan, kita akan melihat lebih banyak kes ‘mati keseorangan’,” kata Fujimori.
#Asia #kebajikan #Kodokushi #mati keseorangan #mati sepi #sistem sosial #warga emas
;