Hidup sebagai suami isteri 51 tahun, meninggal dunia selang enam minit akibat COVID-19
Agensi
April 4, 2020 13:49 MYT
April 4, 2020 13:49 MYT
KEHILANGAN insan tersayang amat menyakitkan, malah lebih memilukan apabila pemergian itu berlaku dalam tempoh masa yang agak singkat ketika dunia sedang berdepan ancaman COVID-19.
Tiada kata dapat diungkapkan selepas pasangan yang menghabiskan sisa hidup selama berpuluhan tahun akhirnya pergi buat selamanya akibat pandemik COVID-19 yang kini sudah meragut lebih 58,000 nyawa.
Seorang pemuda di Florida Amerika Syarikat (AS), Buddy Baker berkongsi kisah sedih mengenai pemergian ibu bapanya, Stuart dan Adrian Baker yang disahkan akibat komplikasi COVID-19.
Lebih memilukan, kedua-dua mereka meninggal dunia selang enam minit.
Memetik laporan CNN, pasangan itu yang sudah 51 tahun mendirikan rumah tangga dilaporkan dalam keadaan sihat dan tidak menghidapi sebarang masalah kesihatan yang serius.
Bagaimanapun, pada pertengahan bulan lalu, Stuart, 74, dan Adrian, 72, mula jatuh sakit.
“(Berita pemergian ini) tidak akan menyentuh hati anda atau sesiapa yang anda kenal melainkan anda sendiri yang mengalaminya.
“Semoga pemergian ibu bapa saya tidak sia-sia,” demikian kata Buddy yang merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Exclusive Sports Group.
Menerusi rakaman video yang dikongsi di laman Twitter, Buddy menegaskan, kehilangan ibu bapanya itu perlu dijadikan teladan kepada semua pihak mengenai bahaya akan pandemik COVID-19.
Bercerita lebih lanjut mengenai pemergian insan tersayang itu, Buddy berkata, lebih kurang tiga minggu lalu mendiang ibu bapanya pergi berjumpa dengan doktor selepas berasa kurang sihat.
Beberapa hari selepas itu, gejala yang dihadapi mereka masih tidak menunjukkan perubahan sebelum mereka disarankan untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Jelas Buddy, ibu bapanya turut dibawa pulang ke rumah dan diarah menjalani kuarantin.
“(Kejadian) berlaku sebelum dunia “suram” dan kejohanan NCAA dibatalkan. Jadi, anda masih tidak terfikir ia (wabak) itu akan menjadi sesuatu yang mengancam nyawa,” ujarnya.
Cahaya yang diharapkan muncul dihujung terowong nyata tidak berlaku apabila kedua-dua ibu bapanya diarahkan untuk kembali ke hospital pada 19 Mac lalu sebelum bapanya dimasukkan ke hospital kerana bergejala demam dan asma.
Keadaan semakin buruk apabila selepas 48 jam bapanya telah dimasukkan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tahap oksigen Stuart dilaporkan menurun daripada 60 peratus kepada 50 peratus.
Pada 24 Mac, satu panggilan telefon diterima daripada pihak hospital bagi memaklumkan bahawa bapa Buddy disahkan positif COVID-19, selain memberikan gambaran bahawa lelaki itu “tidak mampu bertahan lama”.
Panggilan itu nyata membuatkan hati Buddy luluh, namun sebagai seorang anak – dia tidak sanggup menyampaikan berita duka itu kepada ibunya.
Keputusan yang diambil ketika itu adalah untuk membawa ibunya ke hospital dan melakukan ujian terhadap wanita itu memandangkan dia tidak menunjukkan sebarang gejala.
Selepas 45 minit ibunya diperiksa, Buddy memaklumkan laporan doktor menunjukkan oksigen ibunya juga berapa pada tahap yang rendah.
Susulan kegagalan fungsi organ dan atas nasihat pegawai perubatan profesional, Buddy dan kakaknya memutuskan untuk memindahkan ibu bapa mereka ke hospital pakar.
Pasangan itu ditempatkan di bilik sama dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum beberapa minit kemudian mereka disahkan meninggal dunia.
“Mereka serasi bersama dan tidak dapat dipisahkan kerana pasangan ini pernah hidup bersama di dunia ini,” ujarnya.
Justeru, dia menasihatkan agar semua orang terus mengamalkan penjarakan sosial dan kekal di rumah seperti mana yang disarankan oleh pihak kesihatan awam.
#Amerika Syarikat
#COVID-19
#Hospital
#koronavirus
#meninggal dunia
#Seorang pemuda di Florida Amerika Syarikat Buddy Bake
#Twitter
#wanita