Hezbollah umum pengebumian Hassan Nasrallah pada 23 Februari
Astro Awani
Februari 3, 2025 08:20 MYT
Februari 3, 2025 08:20 MYT
BEIRUT: Kumpulan Hezbollah di Lubnan mengumumkan bahawa upacara pengebumian pemimpin lama mereka Hassan Nasrallah akan diadakan 23 Februari depan, beberapa bulan selepas beliau dibunuh dalam siri serangan udara Israel di sebuah kawasan pinggir bandar di selatan Beirut.
Pengumuman ini dibuat Setiausaha Agung Naim Kassem beberapa hari selepas perjanjian gencatan senjata yang menamatkan perang antara kumpulan Lubnan itu dan Israel dilanjutkan sehingga 18 Februari.
Ketika ini, tentera Israel masih berada di beberapa bahagian selatan Lubnan.
Bagaimanapun menurut perjanjian gencatan senjata, mereka sepatutnya berundur secara berperingkat, sementara Hezbollah berundur ke utara Sungai Litani dan tentera Lebanon mengambil alih kawalan.
Dalam protes pada Ahad, tentera Israel melepaskan tembakan dan menyuraikan penunjuk perasaan di Kampung Yaroun dan Kfar Kila di selatan Lubnan.
Namun tiada sebarang pengumuman mengenai korban jiwa dibuat Kementerian Kesihatan Lubnan.
Minggu lalu, 24 penunjuk perasaan terbunuh selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka, menurut Kementerian Kesihatan.
Walaupun keupayaan tenteranya sebahagian besarnya telah musnah dalam perang, Israel mendakwa bahawa mereka perlu kekal lebih lama untuk menghapuskan infrastruktur ketenteraan Hezbollah, termasuk rangkaian terowongnya.
Perarakan pengebumian juga akan diadakan untuk Hashem Safieddine, seorang lagi pegawai kanan Hezbollah yang terbunuh dan dilihat sebagai pengganti Nasrallah.
Nasrallah telah mengetuai Hezbollah sejak 1992 dan dianggap sebagai pemimpin yang membawa perubahan besar kepada kumpulan itu, yang berkembang daripada sebuah kumpulan tempatan menjadi pasukan paramilitari serantau dengan pengaruh politik yang kuat dalam kerajaan Lubnan.