Hezbollah janji koordinasi laksana gencatan senjata

Astro Awani
November 30, 2024 08:40 MYT
Qassem berkata Hezbollah telah menerima perjanjian itu dengan mengukuhkan kedudukan mereka di medan pertempuran sambil mengekalkan maruah dan hak untuk mempertahankan diri. - Foto REUTERS
BEIRUT: Ketua Hezbollah, Naim Qassem menegaskan, pihaknya akan berkoordinasi rapat dengan tentera Lubnan untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata dengan Israel, pada Jumaat.
Beliau menyatakan, perjanjian tersebut telah dipersetujui dengan penuh keyakinan dan penghormatan terhadap hak mereka untuk mempertahankan diri.
Ini adalah kenyataan pertama Qassem sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Rabu, selepas konflik selama lebih setahun antara Hezbollah dan Israel yang menyebabkan kemusnahan besar di Lubnan serta meragut 4,000 nyawa, termasuk ratusan wanita dan kanak-kanak.
Beliau menyatakan, Hezbollah telah menerima perjanjian itu dengan mengukuhkan kedudukan mereka di medan pertempuran sambil mengekalkan maruah dan hak untuk mempertahankan diri.
Gencatan senjata itu menggariskan pengunduran Hezbollah dari kawasan selatan Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer di utara sempadan Israel.
Sementara itu tentera Lubnan akan mengambil alih kawasan tersebut seiring dengan pengunduran tentera Israel.
Menurut Qassem, Hezbollah akan memastikan koordinasi erat dengan tentera Lubnan untuk mematuhi komitmen perjanjian ini.
Tentera Lubnan dan Hezbollah sama-sama menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata, termasuk melalui serangan udara di kawasan Sungai Litani pada Khamis.
Qassem turut menyatakan bahawa Hezbollah telah mencapai kemenangan besar ke atas Israel yang beliau anggap lebih bermakna daripada konflik pada tahun 2006.
Beliau menegaskan bahawa pihak yang beranggapan Hezbollah akan lemah selepas konflik ini telah silap dalam pertimbangan mereka.
#gencatan senjata #Israel #Hezbollah #lubnan
;