Hentikan segera kekejaman rejim Israel di bumi Gaza - Wartawan veteran

Kenyataan Media
Mei 16, 2021 14:11 MYT
Serangan berterusan Israel di Gaza merupakan satu keganasan dan keangkuhan bagi menunjukkan kuasa oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa. - Gambar fail/AP
Berikut adalah kenyataan media Wartawan Veteran Malaysia berhubung serangan rejim Israel di bumi Palestin:
Kami mendesak kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel di Gaza dihentikan serta merta. Serangan berterusan di Gaza adalah sesuatu di luar batas kemanusiaan. Ia merupakan satu keganasan dan keangkuhan bagi menunjukkan kuasa oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Serangan ke atas rumah kediaman, pejabat dan prasarana untuk rakyat telah menyebabkan kesengsaraan yang melampau di Gaza. Serangan itu sehingga ini telah menyebabkan kematian lebih 122 orang termasuk 33 kanak-kanak dan mencederakan tidak kurang 900 yang lain. Penderitaan di kalangan orang awam amat dikesali. Kami menganggapnya ltidak lebih tindakan pencerobohan yang mesti dikutuk oleh negara-negara dan persatuan sivil (civil societies).
Kami percaya kerajaan Israel sedang mengumpulkan bala tenteranya untuk memasuki Gaza. Sekiranya itu berlaku ia akan memburukkan lagi keadaan. Suasana tegang yang berlaku di tengah ancaman pandemik COVID-19 ini sama sekali tidak wajar.
Kami menuntut para wartawan Israel untuk bertindak sebagai “conscience” negara itu. Apa yang berlaku bukan tentang apa yang selalu didakwa sebagai “hak Isarel untuk wujud.” Para wartawan Israel patut menyuarakan hak rakyat Palestin untuk hidup sama. Mereka telah dinafikan hak asasi dan maruah akibat kekejaman yang diperlakukan ke atas mereka selama lebih tujuh dekad.
Kami mengutuk serangan ke atas pejabat organisasi media di Gaza oleh tentera udara Israel yang telah memusnahkan Menara Al-Jalas di mana terdapatnya pejabat beberapa syarikat media termasuk Associated Press (AP) dan Al Jazeera. Kami tidak dapat menerima kenyataan bahawa dalam era ini, pihak tentera menjadikan pejabat pengamal media sebagai sasaran.
Semua keganasan ini memang dirancang bermula dari pengusiran beberapa keluarga Palestin dari persekitaran Sheikh Al Jarrah, serangan puak perampau Yahudi ke atas rakyat Palestin dan tindakan rtidak bertanggungjawab ke atas mereka yang menjalankan ibadah di Masjid Al Aqsa serta serangan ke atas beberapa sasaran di Palestin.
Kami kesal bahawa sebahagian media Barat memberikan gambaran bahawa rakyat Palestin adalah militant, radikal dan pengganas, istilah yang swenang-wenangnya digunakan bagi menghalalkan keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas mereka.
Kami juga kesal bahawa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengeluarkan sebarang resolusi dalam isu ini. Kami juga kesal bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden telah menghalang PBB dari membuat sebarang kenyataan mengenai hal itu. Pada pandangan kami ini bukan soal agama atai ideologi tetapi tentang rakyat Palestin yang tertindas dan yang dimangsai sejak begitu lama.
Kami mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar mengeluarkan kenyataan yang keras mengenai hal ini. Dunia Islam menunggu pedoman dan hala tuju dari OIC. Tindakan menyepikan diri terutamanya di kalangan anggota OIC yang berpengaruh amat dirasakan sekali.
Ditandatangani oleh
Tan Sri Johan Jaaffar
Datuk Seri Wong Chun Wai
Datuk Husamuddin Yaakub
Datuk Kadir Jasin
Datuk Seri Azman Ujang
Datuk Chamil Wariya
Datuk Yong Soo Heong
Datuk Zakaria Wahab
Datuk Ahirudin Attan
#Gaza #Palestin #Israel #keganasan #PBB #Malaysia #wartawan veteran
;