Hentikan pembunuhan, benarkan akses ASEAN ke Myanmar - Muhyiddin

Najib Aroff
April 24, 2021 17:45 MYT
Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada pertemuan Khas Pemimpin-pemimpin ASEAN berhubung krisis di Myanmar, dipengerusikan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Sekretariat ASEAN hari ini. - Foto BERNAMA
JAKARTA: Malaysia mengemukakan tiga cadangan bagi menyelesaikan krisis politik Myanmar yang kini sudah meragut ratusan nyawa.
Cadangan itu dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu Pertemuan Pemimpin-Pemimpin ASEAN di Sekretariat ASEAN di Jakarta.
“Pertama, redakan situasi di sana (Myanmar) dan hentikan pembunuhan dan keganasan terhadap orang awam.
“Kedua, bebaskan semua tahanan politik segera tanpa sebarang syarat.
“Ketiga, benarkan Pengerusi ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN untuk mendapatkan akses ke Myanmar, termasuk kepada semua pihak berkepentingan,” kata Muhyiddin sewaktu ucapan intervensi.
Muhyiddin berkata kesemua cadangan tersebut tidak akan meminggirkan pandangan Tatmadaw atau Junta Tentera.
“Kita sedar kejayaan usaha ASEAN dalam isu Myanmar amat bergantung kepada kesudian Tatmadaw bekerjasama,” katanya.
Muhyiddin pada masa sama mengingatkan pemimpin ASEAN kepentingan Myanmar dalam mempengaruhi kerjasama ASEAN.
“Penduduk Myanmar adalah penduduk ASEAN, kejayaan Myanmar adalah kejayaan ASEAN. Paling penting, masa hadapan Myanmar akan membentuk masa hadapan ASEAN.
“Tidak boleh dinafikan kepentingan Myanmar terhadap ASEAN,” katanya.
Muhyiddin berkata ASEAN sememangnya berpegang kepada prinsip tidak campur tangan urusan dalaman negara ahli namun ia bukan bermakna ASEAN harus mengabaikan situasi serius yang menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini.
“Prinsip tidak masuk campur tidak boleh dijadikan tempat bersembunyi, ia tidak boleh menjadi alasan kurangnya kita bertindak.
“Krisis di sesebuah negara ahli ASEAN tidak akan selesai tanpa memberikan kesan kepada negara ahli lain,” tambahnya.
Muhyiddin berkata jika ASEAN merupakan mekanisme untuk membantu Myanmar kembali normal, langkah seterusnya adalah membenarkan akses Pengerusi ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN ke negara itu untuk bertemu semua pihak berkepentingan.
“Jika ASEAN diberikan akses, ini akan memberi isyarat kepada dunia bahawa ASEAN di landasan betul untuk membantu Myanmar kembali normal,” katanya.
Muhyiddin pada masa sama menyatakan kegusaran situasi yang melanda Myanmar akan memberikan kesan negatif kepada negara serantau lain termasuk Malaysia.
“Malaysia amat terkesan dengan ketidakstabilan di Myanmar, bukan sahaja baru-baru ini, namun sudah berdekad lamanya.
“Kami kini menempatkan sejumlah 200 ribu individu dari Myanmar terutama dari negeri Rakhine.
“Sumber dan kapasiti kami sudah meruncing dalam menguruskan pelarian serta pencari suaka, ditambah penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Pertemuan Pemimpin-Pemimpin ASEAN menyaksikan kehadiran pemimpin utama negara anggota termasuk Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Manakala Thailand, Laos dan Filipina diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan.
Myanmar pula diwakili Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
#Muhyiddin Yassin #Myanmar #COVID-19 #Malaysia #pandemik #ASEAN #Sultan Hassanal Bolkiah #Perdana Menteri #Indonesia #Lee Hsien Loong #Joko Widodo #Vietnam
;