Henti spekulasi, tiada penggal ketiga untuk Presiden Jokowi
Astro Awani
September 6, 2022 13:01 MYT
September 6, 2022 13:01 MYT
JAKARTA: Desas-desus kononnya Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) akan dilantik semula ke jawatan itu untuk penggal ketiga disangkal Pejabat Kakitangan Presiden Indonesia (KSP).
Perkara itu disahkan Timbalan V KSP, Jaleswari Pramodhawardani yang memaklumkan bahawa Presiden Jokowi tetap dengan pendiriannya untuk tidak bertanding, lapor Kompas.
“Tempoh perkhidmatan Presiden Jokowi hanya dua penggal.
"Tiada lanjutan tempoh kuasa dan pilihan raya juga tidak akan ditangguh,” kata Jaleswari dalam satu kenyataan menerusi siaran akhbar kepada media Indonesia, pada Isnin.
Malah, menurut Jaleswari, idea melanjutkan tempoh kuasa Jokowi menjawat semula jawatan Presiden merupakan satu langkah "bahaya".
“Sokongan terhadap idea itu seolah menampar muka atau mengelirukan Presiden Jokowi.
"Mereka sedang bermain gimik yang membahayakan Presiden Jokowi; seolah-olah mereka memberi madu, tetapi ia adalah racun," kata Jaleswari.
Dakwaan itu tular di sebalik ketegasan Jokowi yang berulang kali menjelaskan bahwa beliau tidak berminat menjadi Presiden untuk penggal ketiga dan patuh kepada had dua penggal yang ditetapkan dalam Perlembagaan.
Terdahulu, wujud spekulasi kononnya Jokowi berhasrat memegang jawatan Presiden melebihi mandat pentadbirannya selama dua penggal yang akan berakhir pada 2024.
Idea tersebut dibangkitkan oleh penyokong Presiden Joko Widodo pada Musyawarah Rakyat Indonesia (Musra) di Balai Pemuda, Arcamanik Sport Center, Bandung, Jawa Barat.
Indonesia dijangka mengadakan tiga pilihan raya utama iaitu Pilihan Raya Parlimen, Gabenor dan Presiden pada 2024, yang pertama kali berlaku serentak dalam sejarah negara itu.