Hendakkan kebebasan, tak perlu panggil Harry dan Meghan 'Yang Mulia' lagi - Ratu Elizabeth
Agensi
Januari 19, 2020 12:01 MYT
Januari 19, 2020 12:01 MYT
Pasangan Diraja Britain, Putera Harry, 35, dan Meghan, 38, kini tidak lagi memegang gelaran diraja His Royal Highness dan Her Royal Highness (Yang Mulia) selepas kedua-duanya membuat keputusan menarik diri daripada tugas-tugas Diraja dan mahu hidup berdikari.
Pasangan itu sebelum ini membuat kejutan apabila memaklumkan mereka bersama anak mereka, Archie akan menetap di Amerika Utara dan berhasrat mahu menjana pendapatan dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri termasuk membiayai kos keselamatan mereka.
Menurut kenyataan Istana Buckingham, mereka juga dikehendaki membayar semula Geran Kedaulatan (Sovereign Grant), iaitu wang yang diperoleh Ratu Elizabeth menerusi pembayaran cukai rakyat setiap tahun yang digunakan untuk mengubahsuai kediaman rasmi mereka di London, Frogmore Cottage - 2.4 juta euro (kira-kira RM10.8 juta).
FOTO ALBUM: Perkahwinan Diraja Putera Harry-Meghan Markle
Bagaimanapun, Ratu Elizabeth II melahirkan rasa senang hati baginda dengan keputusan yang dilakukan oleh pasangan itu.
“Selepas mengadakan perbincangan selama berbulan-bulan, beta gembira kerana mereka telah menemui langkah yang sewajarnya untuk membesar dan menyara hidup berkeluarga dengan baik,
“Harry, Meghan dan Archie akan sentiasa berada dalam ingatan saya dan saya sentiasa menyayangi mereka,” jelas Ratu Britain, Elizabeth II dalam satu kenyataan.
Baginda pada masa sama memahami keadaan rumah tangga yang dialami oleh Harry dan Meghan sejak dua tahun lalu dan menghormati keputusan mereka untuk hidup dengan lebih bebas.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan mereka kepada negara, Komanwel dan sebagainya," jelas baginda lagi.
Menurut sumber Diraja, Harry akan turut melepaskan tiga jawatan ketenteraan dan duta belia Komanwel.
Ahli keluarga diraja Britain telah mengadakan satu pertemuan di Istana Sandringham pada Isnin dan susulan itu Ratu Elizabeth bersetuju untuk satu tempoh peralihan sementara butir perjanjian itu diperincikan lagi.
#Archie
#Britain
#diraja
#Istana Britain
#keluarga
#keluarga diraja
#Meghan Markle
#Putera Harry
#Ratu Elizabeth II