'Helmet' Stormtrooper, kostum Joker dari filem asal antara yang bakal dilelong

Agensi
September 19, 2019 22:13 MYT
Aktor Syd Wragg mencuba mengenakan semula topeng kepala Stormtrooper yang pernah dipakai dalam produksi filem 'Star Wars' pada tahun 1977. - Reuters
Tengkorak dinosour dari filem Jurassic Park, topeng kepala Stormtrooper dan dan bom tangan Monty Python adalah antara memorabilia dari filem popular yang bakal dilelong di London bulan ini dalam satu acara yang dijangka mencecah nilai 6 juta Pound (RM31.4 juta).
Reuters melaporkan, antara barangan lain yang juga akan dibuka untuk bidaan adalah kapak yang digunakan oleh aktor Jack Nicholson dalam filem The Shining dan juga kostum watak antagonis 'Joker' dari filem Batman.
Paling menjadi perhatian tentunya topeng kepala Stormtrooper yang pernah digunakan dalam filem Star Wars pada tahun 1977.
Pakar dalam jualan memorabilia filem, Prop Store, menjangka barangan kegemaran ramai itu boleh mencapai harga lelongan sebanyak 180,000 Pound (RM942,000).
Walaupun lapik dalamannya nipis dan kanta matanya kabur, pelakon yang pernah memakai topeng kepala itu, Syd Wragg, pada Rabu lalu sangat teruja dapat melihat kembali pelengkap kostum ‘tentera Empire’ itu, apatah lagi dengan namanya yang masih jelas tertulis di bahagian dalamnya. Ia merupakan kali pertama Wragg disatukan semula dengan barangan itu selepas penggambaran filem tersebut.
Jika masih ada peminat Monty Python and the Holy Grail, pasti menyedari bahawa tahun ini adalah ulang tahun ke-50 filem komedi British itu. Bom tangan 'Holy Hand Grenade of Antioch' adalah antara item lelongan yang diharapkan mendapat perhatian pembida.
"Dalam gaya tulen Monty Python, bom tangan itu sebenarnya diperbuat daripada injap sistem tandas simbah,: ujar penganjur lelongan, Stephen Lane.
Selain itu, surat untuk watak ahli sihir cilik Harry Potter sewaktu dia diterima masuk ke sekolah magis Hogwarts, juga menjadi tarikan dalam acara lelongan itu nanti.
Prop Store meletakkan sekitar 250 daripada 900 item lelongan untuk pameran di bangunan BFI Imax di Waterloo, selatan London, tempat acara lelongan itu bakal dilangsungkan.
Generasi peminat watak 'Joker' hari ini pasti terkejut dengan kostum watak bawaan Jack Nicholson itu yang suatu masa dahulu lebih ranggi dan berwarna terang. Warna ungu itu adalah pilihan Nicholson sendiri uantuk menyamai warna rasmi pasukan bola keranjang LA Lakers, ujar Lane.
Acara lelongan dua hari itu akan berlangsung pada 30 September hingga 1 Oktober. Sementara itu orang ramai boleh melihatnya buat kali terakhir sebelum ia menjadi milik persendirian pembida tertinggi.
#batman #Harry Potter #jack nicholson #Joker #lelongan #Star Wars #stormtrooper
;