Helikopter tentera terhempas di Mesir, 8 anggota pasukan pengaman maut
Agensi
November 12, 2020 23:35 MYT
November 12, 2020 23:35 MYT
SINAI: Sebuah helikopter membawa pasukan pengaman diketuai Amerika Syarikat (AS) terhempas di Sinai, Mesir pada Khamis, menyebabkan lapan anggota tentera terkorban.
Semua mangsa yang terkorban dalam nahas berhampiran bandar Sharm el-Sheikh itu adalah anggota Pasukan Pemantau Multinasional (MFO).
Mereka terdiri daripada enam warga AS dan masing-masing seorang warga Perancis dan Republik Czech, kata MFO dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Reuters.
Kejadian itu diklasifikasikan sebagai kemalangan mengejut dan siasatan awal tidak menemui tanda-tanda helikopter itu diserang.
Bagaimanapun, kenyataan oleh MFO itu tidak memberikan butiran lanjut sambil menggambarkan misi itu sebagai operasi rutin.
MFO ditubuhkan pada 1979 untuk memantau sempadan Mesir dan Israel selepas kedua-dua negara itu memeterai perjanjian damai.
Pasukan itu yang tiada kaitan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggotai 1,154 anggota tentera dari 13 negara, yang sebahagian besar dari AS, Kolombia, Fiji dan Perancis.