Helikopter tabur risalah amaran jangan terlibat protes ganas di Jakarta

Agensi
November 24, 2016 19:42 MYT
Seorang terbunuh dan lebih 100 cedera dalam protes pada 4 November lalu hinggakan akhirnya polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air. - Gambar fail
Presiden Indonesia Joko Widodo pada Khamis menyeru rakyatnya supaya bertenang susulan berlaku ketegangan agama, sementara helikopter telah digunakan untuk menaburkan risalah di seluruh Jakarta bagi memberitahu tentang hukuman berat yang bakal dikenakan jika perhimpunan bertukar ganas.
Joko atau Jokowi sepanjang minggu ini berusaha meyakinkan pelabur selain menunjukkan gabungan politiknya tetap bersatu selepas tunjuk perasaan di jalanan oleh kira-kira 100,000 orang yang diketuai kumpulan berpengaruh pada 4 November lalu.
Protes itu mendesak agar Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, atau Ahok, meletak jawatan dan dibicarakan kerana didakwa menghina al-Quran.
Seorang terbunuh dan lebih 100 cedera dalam protes berkenaan yang akhirnya menjurus kepada aksi ganas hinggakan polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.
"Saya hanya mahu menyampaikan satu perkataan iaitu optimisme. Janganlah kita lupa pada perkataan itu, walaupun situasi politik sedikit hangat,” ujar Jokowi.
Indonesia yang mempunyai populasi Muslim terbesar dunia juga berkongsi hidup dengan komuniti Kristian dan Hindu.
Jokowi telah bertemu figura politik, keselamatan dan agama sejak tunjuk perasaan pada 4 November, selepas menyalahkan ‘dalang politik’ yang tidak dinamakan, yang dipercayai menambah ketegangan.
Semuanya berpunca daripada tindakan Ahok mengulas tentang maksud ayat dari Surah al-Maidah dalam ucapan kempen politiknya.
Polis pada minggu lalu menamakan Ahok sebagai suspek siasatan menghina al-Quran dan jika didapati bersalah, berdepan hukuman penjara lima tahun.
Walaupun kumpulan Islam sederhana menyeru agar tidak dianjurkan sebarang protes lagi, ketua polis Indonesia berkata sesetengah peserta tunjuk perasaan mungkin menggunakan perhimpunan pada Jumaat ini untuk menggugat pemerintah.
Sementara itu, Barisan Pembela Islam (FPI) berkata anggotanya merancang untuk berarak lagi pada Jumaat, namun berjanji ia merupakan perhimpunan aman.
Sejumlah 18,000 anggota polis dijangka ditugaskan untuk menjaga keamanan, sementara kira-kira 50,000 risalah telah dijatuhkan ke serata bandar raya berpopulasi 10 juta itu.
Risalah itu memberi amaran supaya orang ramai tidak terlibat dengan aktiviti subversif, yang membawa hukuman berat termasuk dipenjara seumur hidup dan juga hukuman mati.
Ahok yang beragama Kristian dan berketurunan Cina akan bertanding dalam pilihan raya pada Februari hadapan, bersaing dengan dua calon Islam. Dalam undian awam pada Khamis, Ahok telah jatuh ke kedudukan kedua.
Rival Agus Yudhoyono, anak lelaki presiden sebelum ini, Susilo Bambang Yudhoyono, kini mendahului.
#ahok #Gabenor Jakarta #Joko Widodo #perhimpunan #protes Jakarta #tunjuk perasaan
;