Helikopter bawa 22 orang hilang di Semenanjung Kamchatka, Rusia

Bernama
Ogos 31, 2024 23:37 MYT
Hubungan radio dengan helikopter Mi-8 itu terputus berhampiran gunung berapi Vachkazhets dan tiada lagi sebarang perhubungan dengan kru.
MOSCOW: Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia berkata sebuah helikopter Mi-8 yang membawa 22 orang hilang pada Sabtu di Semenanjung Kamchatka, lapor Xinhua.
Mereka yang menaiki helikopter itu terdiri daripada 19 pelancong dan tiga kru pesawat itu, kata agensi itu menerusi aplikasi Telegram.
Menurut Agensi Berita Jerman (dpa), hubungan radio dengan helikopter Mi-8 itu terputus berhampiran gunung berapi Vachkazhets dan tiada lagi sebarang perhubungan dengan kru, pihak berkuasa di ibu kota Wilayah Petropavlovsk-Kamchatsky berkata.
Semenajung Kamchatka popular dalam kalangan pelancong kerana keindahan alam semula jadi dan landskap gunung berapinya.
Kementerian Pertahanan Awam Rusia berkata kabus tebal di kawasan itu pada awalnya membantutkan usaha pencarian menggunakan helikopter tetapi pasukan di darat berjaya untuk memulakan pencarian di kawasan pedalaman.
Pihak penyiasat sudah memulakan prosiding terhadap pelanggaran peraturan lalu lintas udara.
-- BERNAMA
#helikopter #hilang #Semenanjung Kamchatka #Rusia #kawasan pelancongan
;