Hasrat 'melepas' terbantut, nak buka pintu tandas rupanya pintu pesawat
Agensi
Jun 11, 2019 12:37 MYT
Jun 11, 2019 12:37 MYT
Sebuah penerbangan dari United Kingdom menuju ke Pakistan terpaksa ditangguhkan gara-gara tindakan salah seorang penumpang yang membuka pintu kecemasan pesawat yang disangkakan pintu tandas.
Dalam kejadian di lapangan terbang Manchester itu, Penerbangan 702 oleh Pakistan International Airlines (PIA) itu terpaksa ditangguh selama tujuh jam, menurut syarikat penerbangan itu pada Jumaat lalu.
Susulan itu empat puluh penumpang dikeluarkan dari pesawat, di mana gelongsor kecemasan dikeluarkan secara automatik.
Wakil syarikat penerbangan itu memaklumkan kepada CNN bahawa penumpang yang ingin 'menunaikan hajat' itu telah tersilap membuka pintu memikirkan ia tandas, namun semua penumpang selamat.
Pihak berkuasa Lapangan Terbang Manchester bagaimanapun enggan mengulas mengenai kejadian malam Jumaat tersebut.
Insiden yang sama turut berlaku pada bulan Mei lalu apabila seorang penumpang warga emas ditahan di wilayah Shandong China kerana membahayakan keselamatan pesawat dalam percubaan membuka pintu kecemasan ketika pesawat sedang mendarat.
Selain itu, pada Februari 2018, salah sebuah pintu kecemasan telah jatuh daripada pesawat Dana Airlines ketika mendarat di ibu negara Nigeria, Abuja.
#China
#CNN
#Dana Airlines
#international
#keselamatan
#Manchester City
#Nigeria
#Pakistan
#Pakistan International Airlines
#penerbangan
#pesawat
#PIA
#Twitter
#UK