Hasrat buat kejutan, tapi nyaris maut ditembak ibu sendiri
Agensi
September 5, 2019 12:05 MYT
September 5, 2019 12:05 MYT
Kepulangan orang tersayang pastinya amat dinantikan, terutamanya jika terpisah buat sekian lama.
Pelbagai acara dilakukan sebagai kejutan demi menunjukkan rasa kasih kepada insan yang berada jauh di mata.
Namun berbeza dengan apa yang berlaku di Girard, Ohio, Amerika Syarikat baru-baru.
Perancangan seorang anak pulang membuat kejutan buat ibunya menjadi satu tragedi apabila dia sebaliknya ditembak insan tersayang itu.
Menurut laporan portal Newsweek, kejadian berlaku kerana ibunya tidak tahu kejutan yang dirancang anaknya yang pulang dari kolej dan menyangka ada penceroboh masuk ke kediaman.
Gadis berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian lengan akibat ditembak menggunakan senjata separa automatik jenis revolver .38.
Ketua polis John Norman berkata insiden tercetus apabila ibunya terdengar bunyi bising dari dapur rumahnya.
"Si ibu terkejut apabila pintu bilik tidurnya dibuka lalu segera mencapai pistol yang berada dekat situ.
“Apabila bayang-bayang seseorang itu semakin menghampirinya, dia segera menembak mangsa,” kata Norman.
Tambah Norman, si ibu terkejut apabila menyedqari dia secara tidak sengaja telah menembak anak perempuannya yang pulang membuat kejutan.
Kes itu kini disiasat di bawah Akta Pemilikan senjata api yang dibenarkan di bawah Pindaan Kedua Perlembagaan Amerika Syarikat.
Menurut statistik, pada tahun 2017, sekitar 40,000 mangsa maut akibat tembakan senjata api.
Statistik itu juga menyatakan bahawa 1,112 orang meninggal dunia akibat tembakan yang tidak disengajakan pada tahun ini.