Harvard Law Review lantik presiden Muslim pertama

Reuters
Februari 11, 2021 06:39 MYT
Hassaan Shahawy individu Muslim pertama sebagai presiden dalam sejarah lebih 130 tahun jurnal undang-undang paling berprestij di AS. - REUTERS
THE Harvard Law Review telah menamakan individu berketurunan Mesir-Amerika kelahiran Los Angeles sebagai presiden.
Ini menjadikan Hassaan Shahawy individu Muslim pertama sebagai presiden dalam sejarah lebih 130 tahun jurnal undang-undang paling berprestij di Amerika Syarikat itu.
Pelajar Harvard Law School itu berharap pemilihannya akan menjadi "simbol akademik undang-undang yang mementingkan kepelbagaian, dan satu penghormatan terhadap tradisi undang-undang lain."
Antara tokoh undang-undang dan politik yang pernah bersama Harvard Law Review adalah bekas Presiden AS, Barack Obama, yang merupakan presiden kulit hitam pertama jurnal berkenaan pada tahun 1990.
Tiga anggota Mahkamah Agung AS yang sedang berkhidmat juga merupakan bekas penyunting Harvard Law Review, begitu juga bekas hakim, Ruth Bader Ginsburg dan Antonin Scalia.
"Datang dari sebuah komuniti yang sering didiskriminasi di Amerika, saya harap perlantikan ini merupakan satu perkembangan positif, walaupun kecil, ia simbolik," kata Shahawy, 26, kepada Reuters.
Harvard Law Review dikendalikan oleh kumpulan pelajar terbaik dari beberapa sekolah undang-undang di AS, dan mereka kebiasaannya akan diambil memegang jawatan pegawai kehakiman dan tugas-tugas penting lain.
#Harvard Law Review #undang-undang #mahkamah #Amerika Syarikat #politik #pelajar #presiden #Muslim #Barack Obama
;