Hartawan Hong Kong, bekas pegawai pemerintah disabit kesalahan rasuah
AFP
Disember 19, 2014 20:02 MYT
Disember 19, 2014 20:02 MYT
Hartawan hartanah Hong Kong, Thomas Kwok dan bekas pegawai tinggi pemerintah, Rafael Hui, didapati bersalah atas dakwaan melakukan rasuah hari ini oleh mahkamah.
Begitupun, adik Thomas iaitu Raymond Kwok yang juga seorang jutawan dibebaskan dari pertuduhan terlibat dalam perkara tersebut.
Thomas dan Rafael didapati bersalah melakukan konspirasi yang bertentangan dengan tatakerja di pejabat awam, apabila pihak pendakwa mengetengahkan kes mengenai satu urusan pembayaran yang keseluruhannya berjumlah HK$34 juta (RM15 juta).
Rafael yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Hong Kong dari Jun 2005 hingga Jun 2007, didapati bersalah bagi lima daripada lapan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. Thomas disabitkan dengan satu pertuduhan dan terlepas dalam dua pertuduhan lain.
Pihak pendakwa berkata, beberapa bayaran telah dibuat melalui siri transaksi yang sulit dan melibatkan orang tengah, dan ia secara jelas disifatkan sebagai rasuah.
Pasangan tersebut yang masih dalam jaminan direman sehingga Isnin untuk sesi perbicaraan seterusnya.