Hartawan hartanah, Srettha Thavisin, peroleh undi mencukupi untuk dilantik sebagai PM Thailand

Astro Awani
Ogos 22, 2023 17:57 MYT
Calon Perdana Menteri memerlukan sekurang-kurangnya 374 undi daripada 749 ahli parlimen, termasuk senator. - AP
BANGKOK: Calon perdana menteri parti Pheu Thai, Srettha Thavisin, 60, berjaya memperoleh sokongan yang mencukupi di Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand.
Hartawan hartanah itu memperoleh lebih 374 undi, jumlah yang mencukupi pada jam sekitar 4.50 petang waktu tempatan, lantas memecahkan kebuntuan lantikan perdana menteri pasca pilihan raya umum 14 Mei lalu.
Lantikan itu juga dibuat beberapa jam selepas pemimpin utama parti Pheu Thai, Thaksin Shinawatra pulang ke tanah air pada pagi tadi.
Bagaimanapun kejayaan Srettha dilantik sebagai Perdana Menteri sudah dijangka setelah parti berkenaan berjaya memuktamadkan kerjasama dengan 10 parti lain, termasuk dengan parti lawan seperti United Thai Nation (UTN) yang disokong oleh penyandang perdana menteri Prayuth chan-ocha dan Parti Palang Pracharat yang diketuai oleh penyandang timbalan perdana menteri Prawit Wongsuwan, kedua-duanya merupakan bekas jeneral tentera.
Kerjasama berkenaan bagaimanapun tidak disertai oleh Move Forward Party (MFP), parti dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.
Calon Perdana Menteri memerlukan sekurang-kurangnya 374 undi daripada 749 ahli parlimen, termasuk senator.
Pada akhir pengiraan undi pada lewat petang Selasa, Srettha berjaya meraih 482 undi, dengan 165 yang menolak, sementara 81 lagi berkecuali.
Ketua parti MFP, Pita Limjaroenrat sebelum ini gagal memperoleh undi yang mencukupi untuk dilantik sebagai PM dan cubaan keduanya gagal setelah Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung kedudukannya sebagai ahli parlimen susulan tuduhan gagal mematuhi undang-undang pilihan raya berkait pemilihan saham organisasi media.
Media tempatan melaporkan, ada ahli parlimen yang jatuh pengsan lantas mengakibatkan proses kiraan undi terganggu.
#Perdana Menteri Thailand #Srettha Thavisin #kebuntuan politik #parlimen thailand
;