Harris terima kekalahan, hubungi Trump bincang peralihan kuasa secara aman
Agensi
November 6, 2024 05:50 MYT
November 6, 2024 05:50 MYT
WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris pada Rabu menerima kekalahannya dalam Pilihan Raya Presiden negara itu dan menghubungi Donald Trump bagi mengucapkan tahniah kepada pesaingnya yang akan kembali ke White House buat kali kedua.
Dalam perbualan itu, Trump dan Harris berbincang mengenai "kepentingan menyatukan negara" menurut kenyataan yang dikeluarkan pasukan kempen Trump.
Harris yang mewakili parti Demokrat mengucapkan tahniah kepada Trump dari Republikan atas kemenangannya dalam panggilan telefon yang berlangsung beberapa minit dan membincangkan kepentingan peralihan kuasa secara aman dan menjadi Presiden untuk seluruh rakyat di AS.
Sementara Trump yang juga penyandang jawatan Presiden AS ke-45 (2017 – 2021) itu pula "mengiktiraf kekuatan, profesionalisme dan ketabahan Naib Presiden Harris sepanjang kempen," kata pegawai kempen Trump, Steven Cheung dalam kenyataan bertulis itu.
Sepanjang kempen, Trump dan Harris sering bertukar kata-kata sinis.
Trump dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada 20 Januari depan. - Agensi