'Harris lebih mudah dikalahkan berbanding Biden' - Trump
Astro Awani
Julai 21, 2024 06:15 MYT
Julai 21, 2024 06:15 MYT
CALON Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Donald Trump dalam reaksi segera, berpendapat Naib Presiden Kamala Harris akan lebih mudah untuk dikalahkan dalam pemilihan November ini berbanding Presiden Joe Biden yang telah mengundurkan diri daripada perlumbaan itu.
Trump turut sifatkan Biden tidak lagi layak untuk terus berkhidmat sebagai presiden.
Trump, dalam satu kenyataan di platform Truth Social, berkata, AS berdepan penderitaan di bawah pemerintahan Biden.
Beliau akui, pihaknya akan memperbaiki kemusnahan yang telah berlaku dengan segera.
Trump dan Biden terikat dalam kebanyakan tinjauan pendapat, tetapi selepas perbahasan, beberapa tinjauan menunjukkan Trump mendahului presiden dalam perlawanan untuk pilihan raya November nanti.
Kempen Trump sebelum ini sudah memulakan perbincangan mengenai penyusunan semula sumber kempen, sekiranya Biden umum berundur.
Secara terbuka, penasihat dan sekutu kempen Trump memberitahu, mereka lebih yakin berdepan Harris, susulan rekod buruk polisi Biden, termasuk mengenai imigresen dan inflasi.
Kempen itu menambah, Biden dan Harris memiliki kekuatan dan kelemahan tersendiri.
Saluran YouTube jawatankuasa kebangsaan Republikan rasmi menerbitkan video dua minit pada Ahad yang menyerang Harris berhubung dasar imigresen dan mendakwa beliau mengabaikan isu itu.