Harris desak Trump debat bulan depan
Astro Awani
September 23, 2024 08:30 MYT
September 23, 2024 08:30 MYT
NEW YORK: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris, pada Ahad menyifatkan bahawa Donald Trump seharusnya menerima cadangan debat baharu di CNN bulan hadapan sebelum hari pilihan raya pada 5 November.
Harris menegaskan bahawa pencabarnya dari Parti Republikan itu patut menyertai debat tersebut kerana rakyat AS dan para pengundi berhak melihat mereka bertemu sekali lagi sebelum pilihan raya.
Bekas Presiden Trump menolak untuk berdebat sekali lagi selepas kempen Harris bersetuju dengan debat di CNN pada 23 Oktober, susulan debat sebelumnya pada 10 September di saluran berita ABC.
Dalam satu majlis kutipan dana di New York, Harris berkata debat kedua penting dan menuduh Trump mengelak daripada berhadapan dengannya.
Bagaimanapun wakil kempen Trump belum memberikan sebarang kenyataan balas terhadap komen tersebut.
Semasa perhimpunan di North Carolina pada Sabtu, Trump menjelaskan bahawa debat kedua tidak relevan kerana pengundian awal telah bermula.
Namun bagi Harris, biarpun pengundian awal sudah bermula, pertandingan antara mereka berdua masih sengit dengan lebih sebulan lagi sebelum pilihan raya.