Harris boneka Biden, Trump lebih bijak tangani konflik global - Penganalisis

Khalis Khadir
November 2, 2024 22:28 MYT
Trump dilihat memiliki rekod mudah berunding dan ia dibuktikan dengan pertemuannya bersama Putin dan Kim Jong Un semasa pentadbirannya sebelum ini, manakala Harris hanya akan meneruskan dasar Biden. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Beberapa konflik global terutama isu di Gaza serta kemelut di Rusia dan Ukraine dijangka dapat diselesaikan segera sekiranya calon Republikan, Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 5 November ini.
Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong Yew Kiat berpandangan, manifesto Trump ke arah keamanan sejagat boleh dipercayai berdasarkan perjumpaannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika pentadbirannya sebelum ini.
“Orang ramai mungkin melihat Trump sebagai tidak mendatangkan manfaat kepada keamanan global melalui karakternya tapi jika diimbas ketika pentadbirannya sebelum ini, beliau ada berunding terus dengan Putin termasuk juga pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
“Trump juga ada menyatakan ketika berkempen jika beliau menang, beliau akan selesaikan isu Rusia-Ukraine secepat mungkin dan ini satu suntikan baharu buat Trump. Apa kita boleh harapkan, usaha sama dapat dibuat di Gaza dan secara umumnya di seluruh rantau Asia Barat untuk melegakan ketegangan politik global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI dalam program Fokus Minggu Depan pada Sabtu.
Dalam masa sama, Collins tidak menafikan kebolehan calon Demokrat, Kamala Harris dalam menangani isu global tetapi gerak kerjanya dilihat tidak progresif seperti Trump.
Malah katanya, Harris hanya dilihat sebagai penyambung dasar polisi sedia ada di bawah Joe Biden sekiranya menang pilihan raya nanti dan pada akhirnya ia tidak membawa kepada usaha keselamatan global seperti diharapkan masyarakat dunia.
Beliau menyimpulkan, kemenangan Harris atau Trump tetap tidak akan mengubah fakta bahawa ia pasti memberi kesan pergerakan pasaran modal, komoditi dan mata wang yang secara tidak langsung mempunyai impak kepada perdagangan global termasuk Malaysia.
#Donald Trump #Kamala Harris #Amerika Syarikat #Joe Biden
;