Harris batalkan lawatan ke Singapura, Bahrain, Jerman akibat kebakaran hutan di Los Angeles
Bernama
Januari 10, 2025 10:30 MYT
Januari 10, 2025 10:30 MYT
MOSCOW: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris memutuskan untuk membatalkan lawatannya ke Singapura, Bahrain dan Jerman berikutan kebakaran hutan di Los Angeles dan kawasan sekitarnya, menurut kenyataan Rumah Putih yang dipetik Sputnik/RIA Novosti.
"Sebagai tindak balas terhadap kebakaran hutan di Los Angeles, Naib Presiden membuat keputusan untuk membatalkan lawatan beliau bersama suaminya ke Singapura, Bahrain dan Jerman.
"Beliau akan kekal di Amerika Syarikat untuk menyokong tindak balas persekutuan di California," kata Setiausaha Akhbar Ernesto Apreza.
Beberapa kebakaran hutan dilaporkan berlaku di dan sekitar Los Angeles di California sejak Selasa, mengakibatkan sekurang-kurangnya lima kematian dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.
Syarikat media AccuWeather menganggarkan kerosakan dan kerugian akibat kebakaran hutan di California berjumlah antara US$52 bilion hingga US$57 bilion.
-- BERNAMA