Hari Raya di perantauan era COVID19
Afdal Izal Md Hashim
Mei 23, 2020 13:58 MYT
Mei 23, 2020 13:58 MYT
KUAH kacang, rendang maktok, lodeh, soto dan begedil, tidak dilupakan juga laksa Johor dan lontong menjadi juadah wajib penulis bersama keluarga sama ada di Johor mahupun Kedah. Persiapan yang rapi dan teliti oleh kaum-kaum ibu-ibu di kedua belah keluarga tetap menjadi ingatan bagi pasangan yang berkahwin di antara dua benua. Penulis juga tidak terkecuali mengingati juadah-juadah lazat di perantauan menjadi kemewahan yang sangat didambakan.
Pada kali ini, semestinya persiapan hari raya di Malaysia dan juga rakyat Malaysia di seluruh dunia sama ada di Tokyo, Jepun, Nottingham di United Kingdom; Sydney di Australia, Phnom Penh di Cambodia mahupun di Washington, DC, USA menjadikan sambutan amat berbeza pada hari raya kali ini berbanding pada tahun-tahun lalu. Tiada lagi bersalaman dan berpelukan memohon kemaafan, hanya keluarga nukleus berpeluang dan diberi kebenaran, tiada lagi ziarah menziarahi termasuk konvoi daripada Selama ke Alor Setar, atau dari Pagoh ke Pekan Nenas. Tiada lagi mendapat sampul duit raya secara fizikal dari Pak Ngah dan Pak Long. Itulah dia sambutan hari raya kita pada tahun ini.
Iklan hari raya dari negara jiran, orang Melayu Singapura menunjukkan sambutan hari raya ala Circuit Breaker (pemutus litar). Bagi menyambut hari kemenangan umat Islam secara maya, jiran selatan kita menggunakan skrin-dinding dan zoom untuk bermaaf-maafan dan menjamu juadah, meskipun terpaksa memasak rendang dan kuih-kuih raya sendiri menggunakan resipi rahsia turun temurun yang diambil secara tersembunyi-sembunyi.
Rakyat Malaysia di luar negara pastinya telah lama menggunakan aplikasi yang sama untuk menyambut bersama ibu dan ayah di tanah air. Suatu norma lama di luar negara yang bakal disambut sebagai norma baharu oleh saudara mara yang berada di Malaysia pula. Ini disebabkan tidak dapat sambut berhari raya di kampung halaman bagi mematuhi peraturan larangan merentas negeri.
Apakah maknanya ini kepada orang Melayu yang terkenal dengan kenangan nostalgia dan tradisi sambutan hari raya zaman berzaman? Apakah wajar kita menerima sambutan ini sebagai suatu kesesuaian baharu setiap kali terjadinya ancaman pandemik yang masih di kaji vaksin dan antidote yang boleh memerangi COVID-19 ini? Secara umumnya, benua Asia dilihat sebagai ke hadapan dalam menangani pandemik ini berbanding pentadbiran di Eropah, terutama sekali Itali dan Sepanyol yang mengalami kes kematian tinggi. Kecuali Perdana Menteri New Zealand, Puan Jacinda Ardern meskipun terletak di Asia-Pasifik dengan nilai-nilai barat, beliau kelihatan lebih efektif dalam menangani pandemik ini.
Manakala di Amerika Syarikat, hanya dalam masa kurang daripada tiga bulan telah meningkat statistik kematian sehingga mencecah 100,000 orang. Rakyat AS masih mencari sinar dan harapan daripada Presiden mereka. Penulis menyaksikan budaya orang Asia lebih mirip kepada sifat kolektif komuniti mereka berbanding sifat individu hak asasi manusia yang barat lebih canangkan. “The needs of the community exceeds the needs of the individual (keinginan masyarakat melebihi keinginan orang perseorangan)” merupakan mantra yang sentiasa diulang tidak kira pemikiran Confucius di Asia Timur, panglima Bushido di Jepun mahupun kerja-kerja kemasyarakatan kita yang terkenal sifat kolektif dan bergotong-royong di Malaysia.
Suatu artikel menarik menerangkan fenomena ini daripada Berlin Journal Policy adalah berkenaan konsep disruption (gangguan), di mana COVID-19 ini memberi kesan kepada sosio-politik dan ekonomi dunia. Gangguan seperti wabak Black Death pada pra-renaissance, Spanish flu pada awal abad ke-20 telah merubah lanskap dan ekosistem dari segi aspek kehidupan dan sistem pentadbiran olahan manusia. Malah menurut penulis artikel tersebut, Profesor Thomas Straubhaar, Pensyarah Ekonomi dari University of Hamburg – Disruption seperti ini bukanlah suatu fenomena baharu. Lebih daripada 100 tahun dahulu, pakar ekonomi Austria, Encik Alois Schumpeter telah pun memperkenalkan istilah ini sebagai creative destruction (kemusnahan kreatif). Encik Schumpeter berpandangan bahawa creative destruction adalah suatu yang positif jika dilihat dari sudut sebagai suntikan modal kepada pembangunan ekonomi.
Menghubungkaitkannya kepada pandemik COVID-19 ini, Profesor Straubhaar telah menerangkan bahawa ianya memusnahkan model-perniagaan dan rantaian-nilai yang sedia ada (existing value chains). Kita mungkin dapat saksikan di negara kita sendiri, peraturan baharu telah memansuhkan peraturan-peraturan kaedah perniagaan lama dan lapuk dalam struktur politikal ekonomi dan sosial. Kita juga boleh merasakan peraturan boleh berubah dalam sekelip mata atau hampir setiap hari dengan pandemik ini. Profesor Straubhaar juga menerangkan bahawa bukan sahaja pandemik yang melahirkan peluang kepada creative destruction tetapi aplikasi seperti pendigitilan dan data, algoritma dan robotik serta artificial intelligence juga akan merubah untuk sesuai dengan COVID-19. Maka lahirlah, cara dan kaedah baharu sesuai dengan intuisi manusia.
Sambutan hari raya kali ini disambut dengan penuh disruption, orang Melayu yang suka berkumpul dan berkongsi rezeki dengan rumah terbuka, makanan yang istimewa dan lazat, baju baharu yang berwarna warni tidak lagi dapat dipamerkan kepada sahabat handai dan saudara mara tercinta. Beraya di perantauan dengan dahulunya menggunakan skype video, whatsapp video dan kini zooming seolah-olah menjadi kelaziman baharu di tanah air pada tahun ini. Penulis semestinya ternanti-nanti akan gambar-gambar potret keluarga yang lebih kecil bilangan mereka atau dijarakan sosial pada tahun ini, sama ada di Facebook, Instagram mahupun Twitter.
Apa yang pasti, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya diadakan di masjid dengan tasbih dan tahmid terpaksa dianjurkan di rumah-rumah sendiri. Lahirlah bakat-bakat baharu imam muda dan tua, serta bilal yang tidak disangka-sangka mempunyai bakat terpendam. Malah para khatib terus-jadi pun sudah bersiap dengan teks ucapannya pada pagi hari raya ini. Semoga erti hari raya aidil fitri kita pada tahun ini, iaitu kembali ke fitrah dapat dirasai bersama. Tidak kira di tanah air, mahupun di perantauan.
*Afdal Izal Md Hashim merupakan calon Ijazah Kedoktoran di Graduate School of International Relations, International University of Japan, Niigata, Jepun.
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Astro
#COVID-19
#Facebook
#hari raya
#Instagram
#keluarga
#koronavirus
#Malaysia
#MARA
#menteri
#rakyat Malaysia
#Twitter