Hari Peringatan: Ratu Elizabeth tidak dapat hadirkan diri
Astro Awani
November 14, 2021 05:35 MYT
November 14, 2021 05:35 MYT
LONDON: Ratu Elizabeth II tidak dapat menghadiri upacara Hari Peringatan pada Ahad sebagai memperingati pengorbanan pahlawan British dalam peperangan selepas disahkan mengalami kecederaan di bahagian belakang.
Istana Buckingham dalam satu kenyataan memaklumkan, Ratu Elizabeth II telah mengalami kecederaan di bahagian belakang akibat terseliuh.
Baginda yang sepatutnya membuat penampilan pertama di khalayak ramai, sebelum ini dimasukkan ke hospital bulan lalu dan dinasihatkan supaya berehat.
Bagaimanapun, ahli keluarga diraja yang lain dilaporkan hadir seperti yang dirancang.
Ratu Elizabeth II yang sering kali menjalankan tugas rasmi diraja menarik diri daripada pelbagai acara penting sebelum ini seperti persidangan COP26 sebagai langkah berjaga-jaga terhadap tahap kesihatannya.
Namun, pihak istana menyatakan ratu paling lama bertakhta di dunia itu mempunyai "hasrat besar" untuk menghadiri upacara peringatan tahunan bagi mengenang para veteran.