Hari pengundian pilih Presiden baharu Singapura

Astro Awani
Ogos 31, 2023 06:45 MYT
Halimah ketika hadir bagi mengangkat sumpah pada upacara perasmian khas di Istana, Singapura, 14 Sept 2017. Turut kelihatan, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. - Gambar fail REUTERS
RAKYAT Singapura akan keluar mengundi hari ini bagi memilih presiden kesembilan republik itu menggantikan Halimah Yacob yang tamat penggal pentadbirannya pada 13 September ini.
Calon yang bertanding ialah bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd Ng Kok Song, bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd Tan Kin Lian dan bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.
Bagi mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Presiden 2023 ini, pengundi yang layak boleh menggunakan aplikasi Singpass untuk mengakses kad epoll atau kad undi elektronik yang tertera butiran pusat mengundi.
Kad fizikal pula sudah dihantar sejak minggu lalu, iaitu selepas penamaan calon 22 Ogos.
Umur layak mengundi di republik itu ialah 21 tahun dan wajib bagi pengundi Singapura untuk menunaikan tanggungjawab dalam amalan demokrasi itu.
Hari mengundi ditetapkan cuti umum di Singapura dan majikan dikehendaki memberi pekerja "tempoh masa yang munasabah untuk mengundi".
Pusat mengundi dibuka dari jam 8 pagi hingga 8 malam. Sebanyak 1,264 pusat mengundi dibuka dengan kira-kira 36,000 pegawai pilihan raya ditugaskan di seluruh republik itu.
Bagi pengundi luar negara, Singapura mempunyai 10 pusat mengundi di luar negara di bandar seperti Beijing, Canberra, Dubai, Hong Kong, London, New York, San Francisco, Shanghai, Tokyo dan Washington.
Pusat mengundi itu dipilih disebabkan oleh bilangan besar rakyat Singapura yang tinggal di bandar-bandar tersebut.
Sama seperti mengundi di Singapura, stesen mengundi di luar negara akan dibuka selama 12 jam, antara jam 8 pagi dan 8 malam.
Bagi yang tidak tinggal berhampiran mana-mana pusat mengundi, mereka boleh mengundi secara pos.
Lebih 6,600 warga Singapura luar negara sudah mendaftar sebagai pengundi untuk Pilihan Raya Presiden 2023.
Keseluruhannya, lebih 2.7 juta rakyat Singapura akan memutuskan hari ini siapa antara tiga calon yang akan menjadi presiden kesembilan republik itu.
Halimah memegang jawatan Presiden Singapura sejak 2017. Beliau tidak bertanding untuk penggal kedua selepas tempoh pentadbirannya tamat pada 13 September.
Halimah merupakan Presiden kelapan Singapura dan wanita pertama berkhidmat sebagai Presiden.
Keputusan pilihan raya akan diketahui selewat-lewatnya pada 11 malam.
#pilihan raya presiden #Halimah Yacob #SingPass #Singapura
;