Hari Nyepi: Tiada khidmat mesin wang, lapangan terbang ditutup 24 jam di Bali

Astro Awani
Mac 13, 2021 07:24 MYT
Sambutan dimulakan beberapa hari sebelum dengan upacara Melasti di mana warga Bali membasahkan kaki di dalam air laut bertujuan memurnikan alam semesta daripada pengaruh, perilaku dan pemikiran jahat. - Foto AP
BALI: Tahukah anda ketika ini di Bali, Indonesia, masyarakat di sana sedang meraikan satu perayaan di mana beberapa perkhidmatan awam dihentikan sementara?
Dikenali sebagai Hari Nyepi, ia satu perayaan Hindu yang diraikan pada setiap Isakawarsa dalam kalendar Bali.
Sambutan dimulakan beberapa hari sebelumnya dengan upacara Melasti di mana warga Bali membasahkan kaki di dalam air laut bertujuan memurnikan alam semesta daripada pengaruh, perilaku dan pemikiran jahat.
Sesuai dengan namanya yang bermaksud "Hari Sepi", Tahun Baharu Saka di Bali dimulakan dengan menyepi atau berdiam diri.
Nyepi merupakan perayaan Tahun Baharu Hindu berdasarkan takwim Saka yang bermula sejak tahun 78 Masihi.
Ketika perayaan ini, kegiatan seharian adalah dilarang sama sekali, termasuk perkhidmatan awam.
Namun begitu khidmat perubatan seperti hospital adalah dikecualikan.
Sepanjang Hari Nyepi, tiada operasi penerbangan keluar masuk di pulau peranginan ini. Malah operasi mesin pengeluaran wang (ATM) juga ditunda.
Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai juga dihentikan 24 jam bermula jam 6 pagi Ahad dan hanya akan bersambung pada 6 pagi Isnin, 15 Mac.
Pelancong yang berhasrat mengunjungi Bali minggu ini terlebih dahulu dinasihat membawa wang tunai kerana khidmat ATM tidak beroperasi di seluruh Pulau Dewata itu bermula tengah hari pada Sabtu, 13 Mac.
Mesin ATM hanya akan kembali beroperasi pada jam 7 pagi Isnin, 15 Mac ini.
Walau bagaimanapun khidmat transaksi elektronik seperti perbankan dalam talian, perbankan internet, dan perbankan SMS adalah dikecualikan.
#Hari Nyepi #Bali #penerbangan #ATM #ditangguhkan 24 jam #tidak beroperasi
;