Hari Kebangsaan China ke-70 disambut penuh waspada
Firdaus Azil
September 29, 2019 06:54 MYT
September 29, 2019 06:54 MYT
NEGARA China bakal menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-70 pada 1 Oktober ini, akan tetapi penganjurannya bakal dilakukan dalam suasana yang berhati-hati.
Ia ekoran cabaran pelbagai yang sedang dihadapi negara republik pimpinan Parti Komunis Cina (CPC) itu, bukan sahaja dari segi domestik, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Mengenai cabaran di peringkat domestik, wilayah pentadbiran Hong Kong masih tidak sunyi daripada protes rakyatnya sendiri yang kini memasuki minggu ke-16, dan itu secara tidak langsung mencalarkan imej China di peringkat antarabangsa.
Beberapa penganalisis juga melihat protes berterusan itu serta cara China menguruskannya bakal memberi kesan kepada Taiwan yang turut mengintai untuk mendapatkan kemerdekaan secara total daripada negara republik itu.
Selain itu, China turut menghadapi masalah peningkatan kos sara hidup, pencemaran udara serta tekanan mengurangkan hutang negara yang kian bertambah.
Mengikut laporan BBC, Presiden China, Xi Jinping pada Januari lepas telah memberi ‘amaran’ kepada Kabinet dan ketua provinsi di negara itu berhubung risiko besar yang sedang mereka hadapi.
Xi dilaporkan berkata walaupun CPC merupakan parti pemerintah kedua tertua di dunia, namun serta tiada jaminan mereka akan terus memegang tampuk pemerintahan negara itu.
Ucapan itu dibuat beliau sehari selepas China melihat pertumbuhan ekonomi paling perlahan dalam sejarah mereka sejak 1990 susulan insiden keganasan yang berlaku pada ulang tahun ke-30 Tiananmen Square.
Pada ulang tahun besar-besaran sekitar May, Xi melalui ucapannya sekali lagi mengingatkan rakyat tentang legitimasi CPC serta bagaimana mereka memimpin China menjadi kuasa penaja yang besar di peringkat dunia.
Media melaporkan secara tuntas bagaimana perang dagang yang dimulakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump serta langkah lain negara Uncle Sam itu, termasuk mengenakan sekatan dagang ke atas syarikat berpangkalan di China seperti Huawei Technologies Co, antara risiko yang menguji kepimpinan Xi.
Sambutan Hari Kebangsaan China sering menjadi tumpuan kerana CPC sering menggunakan hari itu untuk menunjukkan kekuatan mereka dalam pertunjukan ketenteraan selama 80 minit, termasuk aset yang jauh lebih canggih, cerminan usaha Xi dalam usaha memodenkan pertahanan mereka, menjadikannya lebih baik berbanding aset milik Amerika Syarikat.
Xi juga akan menyertai lebih 60,000 rakyat ada malam gala hari kebangsaan mereka, di mana pemimpin parti dan negara akan melihat pertunjukan mega serta persembahan bunga api secara besar-besaran.
#Amerika Syarikat
#China
#Donald Trump
#Hari Kebangsaan
#Hong Kong
#Media
#presiden
#Taiwan
#Xi Jinping