Hari ke-128 genosid di Gaza: Puluhan lagi terbunuh apabila Israel teruskan keganasan
Bernama
Februari 11, 2024 19:09 MYT
Februari 11, 2024 19:09 MYT
GAZA: Berpuluh-puluh lagi rakyat Palestin dilaporkan terbunuh atau cedera, termasuk kanak-kanak dan wanita dalam tempoh beberapa jam lalu, akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza yang kini masuk hari ke-128.
Pihak berkuasa kesihatan di Gaza melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 25 orang awam terbunuh, dan puluhan lagi cedera selepas serangan Israel menyasarkan tempat penduduk yang hilang tempat tinggal berlindung di timur Rafah iaitu kawasan yang ditetapkan sebagai 'zon selamat', lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Serentak itu, meriam Israel membedil kawasan tengah Gaza dan jumlah yang terkorban serta cedera tidak dapat dipastikan.
Sementara itu, pesawat pejuang Israel melakukan beberapa siri serangan udara di kawasan selatan Khan Yunis pada sebelah pagi.
Jumlah mangsa yang maut tidak dapat disahkan, namun sumber tempatan menyatakan bahawa serangan udara ke atas rumah keluarga Abu Salimah di Deir al-Balah menyebabkan seorang wanita maut dan beberapa lagi cedera, termasuk seorang kanak-kanak.
Di selatan Gaza, pesawat pejuang Israel meneruskan serangan udara di kawasan Rafah, di tengah-tengah laporan mengenai pencerobohan darat ke atas bandar berpenduduk padat yang menempatkan lebih 1.3 juta penduduk.
Laporan perubatan mengesahkan kira-kira 42 orang awam terbunuh akibat serangan udara Israel di bandar Rafah sejak pagi semalam.
-- BERNAMA